SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu, jutaan golongan pekerja terpaksa menghabiskan masa di rumah.
Sejak PKP juga ramai yang telah mencuba perkara baharu.Mempunyai masa yang terluang, ramai mencuba nasib dalam dunia perniagaan secara kecil-kecilan di kawasan komuniti masing-masing.
Beberapa rakan Merak Jalanan yang bekerja sebagai juruterbang, jurutera dan guru cuba menjinakkan diri dengan berniaga ikan, sayur dan air.
Tidak sangka, perniagaan yang dibuat hanya untuk menghabiskan masa terluang, kini mampu memberi pulangan lumayan kepada mereka.
Setiap hari, mereka mendapat lebih 100 pesanan COD atau penghantaran. Jumlah itu semakin meningkat ketika bulan puasa.
Tidak menang tangan, mereka terpaksa pula mengupah rider bagi memenuhi setiap permintaan.
Terinspirasi daripada usaha rakan-rakan itu, Merak Jalanan cuba menjual buah-buahan di kawasan taman secara COD. Sangkaan awal bahawa orang kita kurang makan buah ternyata amat meleset sama sekali.
Hanya mengirim satu senarai buah-buahan dan harga serta beberapa keping gambar dalam grup WhatsApp taman, Merak Jalanan tidak henti-henti menerima pesanan.
Sejak itu, Merak Jalanan yakin musim PKP ini memberi peluang kepada orang ramai menggunakan masa yang ada dengan aktiviti berfaedah.
Ada yang cuba meningkatkan skill memasak, mencantikkan rumah, bersenam, streaming video, mengajar anak dan menulis buku.
Kembali kepada rakan Merak Jalanan tadi, selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diumumkan kerajaan bermula Isnin lalu, mereka kembali bekerja semula.
Apa lagi, mereka jual semua stok ikan, dua ekor ikan kerapu dan dua kilo ketam dengan hanya RM40 sahaja!