LUMUT - Meskipun berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Hari Raya Aidil Fitri tetap diteruskan dan pelaksanaannya diumum dalam masa terdekat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian mengkaji kira-kira 11 jenis barangan yang akan ditetapkan pada harga maksima dan wajib dipatuhi peniaga pada musim perayaan kali ini.
"Antara barangannya adalah seperti ayam, telur dan daging lembu, manakala selebihnya akan diumumkan nanti bagi memastikan kita dapat menjaga kepentingan orang ramai, peniaga dan semua pihak.
"Sebab itu kita cari mana (tetapkan) harga yang patut untuk semua, bukan mudah tetapi anggota penguat kuasa kita ada pengalaman dan akan cari (tetapkan) harga yang boleh diterima semua pihak,” katanya kepada media selepas lawatan kerja di Pasaraya TF Value Mart Seri Manjung di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad
Menurutnya, sehingga kini, lebih 47,000 pemeriksaan dilakukan ke atas tiga kategori iaitu peruncit, pemborong dan pengilang di seluruh negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memantau harga dan juga bekalan barangan.
"Kita pasti barangan mencukupi dan pihak penguat kuasa sentiasa berada di lapangan untuk memeriksa. Kita ada 2,500 anggota di seluruh negara untuk memantau keadaan,” katanya.
Dalam pada itu, Alexander berkata, sepanjang tempoh PKP, pihaknya berjaya mengesan 26 kes penyeludupan minyak petrol, diesel dan minyak masak dengan nilai rampasan keseluruhan hampir RM157,000 di sempadan negara di Kelantan.
Terdahulu, Alexander menyampaikan sumbangan bank makanan kepada badan bukan kerajaan (NGO) Trong di Dewan NGO Trong di Taman Desa Trong Utama, Taiping. - Bernama