KETIKA awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pertelingkahan di antara selebriti berkaitan bantuan khas atau bantuan sara hidup menjadi isu hangat yang diperdebatkan termasuk dalam kalangan netizen.
Bagaimanapun hari demi hari, selebriti tempatan semakin positif menghadapi normal baharu seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Semenjak pelaksanaan PKP bermula 18 Mac lalu, kebanyakan selebriti terutamanya dalam kalangan penyanyi memainkan peranan untuk memastikan rakyat Malaysia terus duduk di rumah.
Sebelum ini, jenama minuman kegemaran ramai, Wonda Coffee turut mengambil inisiatif menganjurkan #WONDADiRumah konsert dari rumah pertama ketika tempoh PKP fasa 1.
Sejak itu, semakin ramai penyanyi tempatan yang mengambil inisiatif untuk merakamkan persembahan istimewa atau secara langsung terus dari rumah dengan pakaian santai bagi menghiburkan peminat.
Daripada lagu-lagu sendiri sehinggalah single daripada penyanyi dalam dan luar negara menjadi pilihan. Meriah dan secara tidak langsung mengimbau memori tersendiri buat peminat setia.
Tidak hanya persembahan secara solo, ada juga penyanyi yang ‘bersatu’ menyanyikan sebuah lagu baharu secara beramai-ramai.
Lagu Arena Cahaya misalnya yang sebelum ini dinyanyikan oleh Zee Avi yang menjadi tema filem Ola Bola, telah dinyanyikan semula bersama 27 para penggiat seni berbilang bangsa seperti Amy Search, Zee Avi, Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Dina Nadzir, Misha Omar, Aina Abdul, Ella, Lah Ahmad, Elvira Arul, Vince Chong dan ramai lagi.
Arena Cahaya merupakan buah hati penggiat seni kepada seluruh rakyat Malaysia atas sikap positif dan bekerjasama dalam menangani pandemik Covid-19.
Manfaat
Tidak kurang juga yang membuat program mini menerusi sesi siaran langsung di Instagram Story bersama beberapa selebriti lain atau pendakwah bebas dengan isu bermanfaat yang dikongsikan bersama pengikut.
Sesi siaran langsung Neelofa bersama Ustaz Ebit Lew antara contoh yang mendapat sambutan hangat di media sosial sehingga ramai yang berharap mereka akan tampil dengan beberapa siri lagi.
Bukan setakat bercakap isu terkini atau gurau senda di media sosial, ada juga selebriti yang mengambil inisiatif membaca al-Quran secara langsung dengan dipantau oleh mereka yang lebih arif.
Jadi secara tidak langsung, tidak ada lagi yang asyik berkongsi percutian mewah atau barangan berjenama untuk tatapan ramai.
Tidak hanya setakat persembahan istimewa dan sesi siaran langsung interaksi bersama peminat, industri perfileman tidak kurang hebatnya.
Memandangkan pawagam sudah ditutup sejak PKP fasa 1 lagi, Astro Shaw mengambil inisiatif untuk menayangkan filem terkini iaitu Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini dan terbaru, Manap Karaoke terus ke rumah menerusi saluran Astro First Eksklusif.
Dengan hanya berbekalkan modal RM15, rakyat Malaysia boleh menonton filem baharu terus dari rumah tanpa perlu bimbang dijangkiti wabak.
Jika dahulu Astro First menjadi perdebatan tentang eksklusiviti sesebuah filem, tapi kini tidak lagi. Filem baharu, cara lebih selamat dan pastinya menjimatkan.
Dalam pada itu, paling menjadi perhatian tentunya pertunangan secara atas talian antara penyanyi Ayda Jebat dan pengacara, Nabil Mahir baru-baru ini.
Tidak sampai sebulan selepas menerima lamaran Nabil, pasangan itu berkongsi berita gembira dengan peminat tentang pertunangan mereka secara alam maya, namun masih mengikut adat siap dengan berpantun.
Apa yang boleh disimpulkan, semakin ramai yang positif menghadapi normal baharu ini. Walaupun pendapatan terjejas, namun tugas dan kehidupan perlu diteruskan.
Apa yang penting adalah untuk membiasakan diri dengan normal baharu bukan sahaja dalam industri seni malah dalam kehidupan seharian kita sendiri.