SHAH ALAM - Seramai 112,638 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima bantuan asas makanan menerusi peruntukan berjumlah RM5.6 juta.
Pengarah Besarnya, Datuk Dr Othman Omar berkata, bantuan berupa pek bernilai RM50 yang mengandungi makanan keperluan asas seperti beras, gula pasir dan minyak masak.
Menurutnya, pengambilan dilaksanakan pada 6 Mei hingga 13 Mei 2020 di kedai-kedai D’Mart di kawasan rancangan Felda.
"Felda turut menyumbang sebanyak RM953,500 kepada inisiatif Pusat Makanan Komuniti Rancangan (PMKR) yang telah ditubuhkan pada awal PKP oleh Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP),” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
PMKR ditubuhkan pada awal pelaksanaan PKP oleh Jawatankuasa Perundingan Peneroka untuk membantu peneroka yang terjejas dengan penguatkuasaan arahan itu.
Othman berkata, Kelab Bolasepak Felda United (FUFC) dengan kerjasama JKPP, KPF, Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Kami Anak Felda (KAF), Puspanita Felda, Persatuan Kakitangan Kanan Felda (PKKF) dan Kesatuan Pekerja-pekerja Felda (KPPF) telah berjaya mengadakan kutipan sumbangan sebanyak RM166,499.00 untuk tujuan yang sama.
"Jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM1.119 juta akan digunakan untuk membeli dan mengagihkan pek barangan makanan keperluan asas kepada 28,000 peneroka dan generasi baharu yang layak.
"Setakat ini PMKR, telah mengagihkan 131,000 pek barang makanan keperluan asas kepada keluarga peneroka di 317 Rancangan Felda di seluruh negara,” katanya.
Othman berkata, Felda sentiasa prihatin dan akan terus berusaha membantu meringankan beban warga peneroka yang terkesan dengan memastikan bantuan bekalan asas tidak terputus dan dikendalikan dengan sebaik mungkin.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Besar Perladangan dan Pembangunan Peneroka Felda, Anuar Malek berkata, Felda menyedari bahawa PKP yang dilaksanakan turut memberi implikasi kewangan kepada warga peneroka.
"Peneroka pastinya dapat menarik nafas lega lebih-lebih lagi dalam menyambut bulan Ramadan. Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban serta kegusaran warga peneroka dan mereka boleh fokus beribadah dalam bulan penuh barakah ini,” katanya.