SEBANYAK 14 buah perpustakaan awam seluruh negara termasuk Perpustakaan Negara akan bertindak sebagai ejen menggalakkan agensi di setiap negeri dan penonton di rumah membaca al-Quran selama sejam bermula jam 12 tengah hari pada 13 Mei ini sempena program World #QuranHour.
Setiausaha Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Seluruh Malaysia (MPAM), Mastura Muhamad berkata, kelainan itu dilakukan pada World #QuranHour kali ini ekoran penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, kesemua perpustakaan akan bertindak sebagai ejen kepada negeri masing-masing untuk memberi dorongan dan isyarat kepada setiap agensi dan penonton supaya bersama mentadabbur al-Quran secara serentak di seluruh negara dan rancangan itu akan disiarkan secara langsung menerusi stesen TV Alhijrah.
"Pada masa sama kita juga akan mendengar tadabbur atau kupasan tentang ayat al-Quran yang dibaca. Ayat yang dipilih tahun ini ialah Surah Ar-Rahman.
"Kupasan yang akan dibuat oleh Ketua Penyelidik Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF), Fazrul Ismail akan membuka mata kita untuk melihat dunia dari sudut berbeza lebih-lebih lagi ketika diuji dengan wabak Covid-19,” katanya yang juga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dalam temu bual bersama Sinar Harian di sini kelmarin.
MPAM, PPAS dan TV Alhijrah merupakan rakan sinergi bagi program World #QuranHour yang dianjurkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas sejak 2016.
Mengulas lanjut, Mastura berkata, jika masyarakat menjadikan al-Quran sebagai sahabat dan rujukan, segala ujian pasti akan dapat dilalui dengan rahmat ALLAH SWT.
"Sebab itu kita minta semua penonton di rumah turut membaca Surah Ar-Rahman kerana daripada penglibatan itu kita akan dapat berfikir dan muhasabah diri.
"Insya-ALLAH kita akan dapat bangkit dengan semangat baharu, mindset baharu dan cara hidup baharu selain rasa empati dalam diri kita juga akan lebih tinggi.
"Apabila ada sifat empati itu kita juga akan fikir tentang kepentingan orang lain dan tidak hanya mengenai diri sendiri,” katanya.Secara maya
Mastura memberitahu, sempena program World #QuranHour juga, PPAS akan mengadakan program membaca al-Quran serentak lebih awal iaitu bermula jam 11 pagi menerusi aplikasi Live Zoom yang boleh menghimpunkan seramai 500 orang secara maya pada satu-satu masa.
"Disebabkan kita tidak dapat berkumpul, kita akan berlintas langsung dalam aplikasi Zoom dan semua kakitangan PPAS bersama isteri, suami dan anak masing-masing serta wakil agensi akan baca al-Quran serentak selain akan bertadabbur.
"Ustaz yang akan bertadabbur juga akan menggunakan aplikasi Zoom,” katanya.
Tambah beliau, ketika mengikuti live Zoom itu peserta juga digalakkan untuk membuat tangkap layar atau print screen gambar kerana ia menunjukkan usaha mereka untuk menjayakan World #QuranHour kerana walaupun mereka tidak dapat berjumpa tetapi hati bertemu secara maya.Pertandingan
Beliau berkata, bagi menyemarakkan lagi kempen membaca al-Quran serentak itu, kesemua 14 perpustakaan negeri dan Perpustakaan Negara akan memperkenalkan Peraduan Foto World #QuranHour yang menawarkan hadiah wang tunai yang lumayan,
Bercerita lanjut mengenai pertandingan itu, katanya, konsep pertandingan berkenaan sangat mudah. Penonton hanya perlu mengambil gambar secara kreatif untuk menunjukkan ikatan atau bonding antara mereka serta mencipta nota kesyukuran untuk gambar yang dihantar.
"Maknanya selepas kita membaca Surah Ar-Rahman, kita akan faham maksud ayat itu dan daripada situ kita zahirkan apa yang kita fahami menerusi foto yang kita ambil.
"Misalnya, ambil gambar ketika membaca al-Quran atau apa-apa juga gambar bersama nota kesyukuran,” katanya.
Kata Mastura, tujuh pemenang utama atau top seven peraduan itu akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500 seorang sementara 70 lagi pemenang akan menerima RM100 seorang.
Katanya, inisiatif itu diharap dapat menjadi penghargaan kepada penonton selain matlamat utama adalah untuk merapatkan ikatan kekeluargaan selain mengalakkan orang ramai menghargai dan memahami al-Quran dan seterusnya mengamalkan apa yang difahami daripada kitab suci itu.