GEORGETOWN - Sebanyak 242 buah bas Rapid Penang mula beroperasi sepenuhnya hari ini selepas 50 hari mengehadkan waktu operasinya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak Covid-19.
Ketua Operasi Rapid Penang, Ahmad Shabuddin Abdullah berkata, kesemua bas kembali beroperasi itu merupakan persediaan kepada pembukaan sektor ekonomi susulan Pulau Pinang mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.
"Hari ini hari pertama kita beroperasi selepas 50 hari kita di bawah PKP dan bermulanya PKPB di bawah Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang, kita telah meningkatkan perkhidmatan 100 peratus bas beroperasi iaitu sebanyak 242 buah bas.
"Sebelum ini Rapid Penang hanya beroperasi pada dua waktu puncak sahaja iaitu 6 hingga 10 pagi dan 4 petang hingga 10 malam.
"Namun bermula hari ini, waktu operasi balik kepada asal iaitu 5.30 pagi hingga 11 malam," katanya kepada media di Terminal Rapid Penang di Pengkalan Weld di sini tadi.
Tambahnya, pihaknya mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) kepada semua penumpang selain mengurangkan 50 peratus penumpang bagi setiap bas.
"Penumpang juga diwajibkan menjaga penjarakan sosial ketika berada di dalam bas dan disebabkan itu, kita mengehadkan jumlah penumpang mengikut saiz bas.
"Di bahagian pulau ini, kita ada dua saiz iaitu 10 dan 12 meter. Untuk saiz 10 meter, hanya 19 penumpang dibenarkan manakala 12 meter, 23 penumpang.
"Selain itu, kerusi yang ditanda sahaja boleh duduk selain tempat berdiri juga ditanda agar penumpang tahu di mana mereka boleh berdiri dan sebaliknya," katanya.
Beliau berkata, Rapid Penang amat menggalakkan penumpang memakai penutup muka dan menjaga penjarakan sosial ketika beratur di kaunter.
Menurutnya, pihaknya juga akan menjalan proses sanitasi terhadap semua bas setiap malam selepas tamat waktu operasi.
"Kita tidak akan buat saringan suhu badan setiap penumpang namun akan melaksanakan SOP yang ditetapkan setiap masa antaranya penjarakan sosial dan mewajibkan penumpang memakai penutup muka.
"Buat waktu ini, hanya bas berbayar beroperasi manakala bas percuma, CAT di bawah kerajaan negeri belum beroperasi," katanya.
Sementara itu, tinjauan di Terminal Rapid Penang di Pengkalan Weld mendapati, penumpang masih kurang susulan hari ini merupakan hari pertama Rapid Penang beroperasi sepenuhnya.
Ahmad Shabuddin berkata, pihaknya menjangkakan perkara tersebut dan akan memantau dari masa ke semasa.
"Kita tengok jumlah penumpang masih lagi kurang, mungkin semalam cuti umum dan Isnin ini pula, masih cuti kerana Nuzul al-Quran.
"Kita dah jangka kadar penumpang amat rendah, namun kita akan kawal dan pantau dari masa ke semasa," katanya.