Pemain Manchester City, Rodrigo Hernandez memanfaatkan penangguhan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) akibat wabak Covid-19 ketika ini dengan meneruskan pengajiannya dalam bidang pentadbiran dan perniagaan.
Pemain kebangsaan Sepanyol itu berkata, ketika beraksi dengan Villareal sebelum ini, dia turut memanfaatkan masa yang dimiliki khususnya pada hari rehat untuk meneruskan pengajiannya itu di peringkat ijazah.
Menurut pemain berusia 23 tahun itu, pengajiannya itu adalah sebagai persediaan masa depannya apabila sudah tidak lagi terlibat dalam dunia bola sepak.
"Sebelum ini saya memanfaatkan masa untuk melakukan kerja rumah daripada kursus yang saya ikuti di universiti. Saya juga melalui peperiksaan dalam masa beberapa hari dan dalam keadaan sedemikian saya juga turut berlatih untuk kekal cergas.
"Yang pasti, saya tahu pengajian saya ini akan membantu saya pada masa hadapan. Kita tidak tahu. Bila saya telah menamatkan karier saya sebagai pemain saya masih lagi ingin terlibat dengan dunia sukan,” katanya.
Untuk rekod, Rodrigo telah membantu City memenangi Perisai Komuniti, Piala Liga dan berpeluang untuk menambah dua lagi kejuaraan iaitu Piala FA Inggeris dan trofi Liga Juara-Juara Eropah.
Sementara itu menurut Rodrigo dia kini telah pulang ke Sepanyol untuk bersama keluarganya setelah saingan EPL ditangguhkan berikutan wabaCovid-19.
Bagaimanapun, menurut pemain berusia 23 tahun itu, dia tetap berhubung dengan pihak pengurusan pasukan EPL itu selain mengekalkan kecergasan dirinya.
"Semua orang kini berdepan situasi yang sukar. Bukan hanya di Sepanyol, tetapi di seluruh dunia.
"Kita juga sebenarnya tidak tahu apakah yang sebenarnya berlaku. Berapa ramai yang dijangkiti dan tiada siapa yang tahu apa yang akan berlaku selepas ini.
"Kita semua ada insan yang rapat, sahabat atau ahli keluarga. Mungkin ada yang dijangkiti virus dan ia tidak mudah. Jadi kita perlu luangkan masa dengan mereka sebaik mungkin,” katanya.