Tiga kali dipujuk buat rumah baharu LZNK

Iklan
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung mengangkat Adam untuk di bawa ke hospital setelah hampir sejam memujuknya.

YAN - Sebuah keluarga di Kampung Titi Teras di sini enggan menerima pelawaan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) untuk membina rumah baharu bagi menggantikan rumah mereka yang uzur.

Pegawai Zakat Daerah Yan, Kapten (B) Abdul Nasir Hasan berkata, pihaknya telah beberapa kali tampil untuk memujuk keluarga berkenaan sejak tahun lalu namun usaha mereka menemui jalan buntu.

Iklan
Iklan

Katanya, Adam Harun, 94, Siti Halijah Md Noor, 82, dan anak mereka yang mengalami masalah mental itu menganggap mereka selesa dengan kehidupan yang dilalui dan tidak memerlukan sebarang bantuan kerana berkemampuan.

"Adam berasal dari Kelantan, tetapi tapak rumah yang mereka diami sekarang ini adalah milik isterinya dan ia tiada masalah untuk LZNK membina rumah baharu di atas tanah berkenaan.

Iklan

"Tetapi mungkin mereka dah terbiasa hidup begini, jadi agak sukar untuk kita memujuk agar mereka bersetuju dengan tawaran rumah baharu itu,"katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Adam dan isterinya akan dibawa ke Hospital Yan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, Adam juga merupakan penerima bantuan zakat sebanyak RM400 sebulan sejak dua tahun lalu.

Iklan

"Memandangkan pak cik Adam tiada akaun bank, jadi pegawai yang bertugas akan datang untuk menyampaikan duit bantuan berkenaan setiap bulan.

"Pasangan ini juga mempunyai seorang anak lelaki yang tinggal di Sungai Petani. Dia sering balik menjenguk ayahnya namun malangnya dia juga tidak berjaya memujuk ayahnya," katanya.

Keadaan bawah rumah yang menjadi tempat tinggal tiga beranak berkenaan di Kampung Titi Teras di sini.

Sementara itu, anak saudara mereka, Nor Asiah Ahmad, 36, berkata, keluarga terbabit mula berpindah duduk di bawah rumah berkenaan setelah Adam terlantar akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2017.

"Masa itu Pak Ngah (Adam) tak boleh berjalan, jadi nak mudahkan urusan harian Pak Ngah, isterinya buatkan tempat untuk mereka tinggal sementara di bawah rumah.

"Tetapi lama kelamaan mereka sudah selesa duduk di bawah rumah itu. Bila kami pujuk untuk naik duduk di atas rumah semula mereka enggan," katanya yang tinggal bersebelahan rumah pasangan terbabit.

Nor Asiah berkata, dia juga sering menghantar makanan kepada keluarga berkenaan untuk meringankan beban Mak Ngahnya itu.

"Kalau bulan puasa ni, selalu saya hantar pada waktu petang. Tetapi kadang-kadang kalau Pak Ngah teringin nak makan masakan Mak Ngah, mereka kirim duit kepada saya untuk tolong belikan barang," katanya.

Tambahnya,dia tidak menyangka kisah mengenai Pak Ngahnya tular di media sosial kerana sebelum ini pelbagai agensi telah tampil membantu keluarga berkenaan.

"Tetapi di bulan mulia ini kita anggap sahaja ia adalah dugaan kepada kami dan mungkin juga hikmah kepada Pak Ngah saya yang akhirnya berlembut hati untuk dibawa keluar dari rumahnya itu,"katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Yan, Norashikin Idris berkata, pihaknya telah membawa Adam dan isterinya ke Hospital Yan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Anak perempuan mereka yang mengalami masalah mental itu pula dirujuk ke Hospital Sungai Petani. Saya belum sempat berbincang secara lanjut dengan anak lelaki mereka, tetapi saya difahamkan dia bersetuju untuk menjaga kedua ibu bapa dan adiknya.

"Sebelum ini pun dia tidak mengabaikan tanggungjawab, namun sebagai anak dia mungkin tiada pilihan dan terpaksa akur dengan keputusan ayahnya," katanya.