CAMERON HIGHLANDS - Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa mempersoalkan kewujudan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di sisi Perlembagaan berikutan badan itu hanya mempunyai seorang pengerusi.
Beliau berkata, sedangkan SPR seperti di bawah Perkara 114 (1) Perlembagaan Persekutuan hendaklah terdiri daripada pengerusi, timbalan pengerusi dan lima anggota lain.
"SPR dianggap tidak beroperasi atau tidak wujud di sisi Perlembagaan berikutan peletakan jawatan timbalan pengerusi dan lima ahli lain pada 31 Disember tahun lalu. SPR menurut Perlembagaan tidak boleh wujud jika komposisinya hanya mempunyai seorang pengerusi.
"Perkataan 'hendaklah' di dalam Perlembagaan Persekutuan menunjukkan bahawa ia adalah keperluan mandatori. Justeru, segala tindakan dibuat di bawah nama SPR pada ketika ini adalah tidak berperlembagaan dan dikira terbatal," katanya dalam sidang media di Tanah Rata, di sini, hari ini.
Katanya, pelantikan ahli-ahli SPR hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Majlis Raja-raja, bagaimanapun ia masih belum dilakukan.
"Ini menjadi satu lagi bukti kerajaan PH bukan sahaja tidak serius melakukan reformasi malah secara sewenang-wenangnya mentadbir secara autokratik dan membelakangkan prinsip undang-undang," katanya.
Dalam pada itu, beliau berpendapat writ pilihan raya PRK Dun Semenyih tidak harus dikeluarkan.
"SPR ketika ini mempunyai 10 hari iaitu sehingga hari ini (Jumaat) untuk mengeluarkan writ pilihan raya selepas kekosongan kerusi Dun Semenyih.
"Akan tetapi, dengan ketidakwujudan SPR, maka writ pilihan raya tidak harus dan tidak dapat dikeluarkan," dakwanya.