DPIA mahu kerajaan tangani isu peniaga bankrap

Iklan
Presiden DPIA, Datuk Moehamad Izat Emir

PETALING JAYA - Dewan Perdagangan dan Industri Asean (DPIA) mahu kerajaan meneliti dan mempertimbangkan isu bankrap peniaga yang terjejas sepanjang koronavirus (Covid-19) melanda negara, dua bulan lalu.

Presidennya, Datuk Moehamad Izat Emir berkata, langkah perbincangan itu supaya pihak perundangan tidak sewenang-wenangnya mengenakan status bankrap kepada para peniaga yang terjejas.

Iklan
Iklan

"Dari sudut undang-undang hakim harus teliti memahami masalah ini sebelum memutuskan status muflis ini.

"Peniaga yang dimufliskan ini akan memberi kesan kepada perniagaan mereka dan ekonomi domestik," katanya di sini semalam.

Iklan

Jelas Moehamad Izat, hutang dan kos operasi dalam perniagaan bukan perkara yang mudah untuk diuruskan oleh golongan peniaga berikutan tiada aktiviti perniagaan hampir dua bulan.

Antara yang terkesan pengusaha teksi, pengusaha kecil katering dan butik pengantin serta hampir 40 peratus perniagaan baru teknologi mungkin gulung tikar seperti dinyatakan oleh Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia baru-baru ini.

Iklan

"Di luar negara juga beberapa bidang peruncitan turut terjejas akibat isu yang sama.

"Kerajaan kena cari jalan apa yang perlu bagi membantu peniaga untuk meneruskan perniagaan dan elak bankrap ini berlaku," katanya.

Menurut beliau, perkara itu bukan disengajakan dan bukannya kelemahan peniaga tetapi terjejas disebabkan isu Covid-19.

"Saya harap sangat Perdana Menteri dapat memandang serius perkara ini.

"DPIA turut menerima banyak aduan daripada peniaga yang terjejas dan mereka tidak tahu macam mana untuk tingkat semula perniagaan," ujarnya.