YAN - Aduan berkaitan harga makanan dan minuman yang terlalu mahal perlu dipandang serius oleh pihak berwajib agar pengguna tidak teraniaya.
Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihak seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hanya dapat menguatkuasakan barangan kawalan sahaja.
"Sekiranya ada aduan daripada pengguna mengenai harga makanan ataupun minuman yang mahal, penguatkuasa cuma akan pantau sama ada kedai makan tu ada tanda harga ataupun tidak.
"Sekiranya ada tanda harga, KPDNHEP tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas peniaga," katanya.
Mohamad Yusrizal berkata, pemilik kedai makan dan minuman perlu mempunyai kesedaran agar tidak menjual dengan harga melampau.
"Sekiranya keadaan ini masih berlaku ni mereka boleh dikenakan tindakan atas akta Anti Pencatutan bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga dengan sesuka hati.
"Kita juga berharap pengguna dapat melihat terlebih dahulu tanda harga sebelum membeli supaya tidak timbul isu tidak puas hati," katanya.
Beliau berkata, sekiranya harga tidak sama dengan tanda harga yang dipaparkan, pembeli diminta untuk melaporkan kepada KPDNHEP berserta resit pembelian.