PELAKON Ashraf Muslim telah didiscaj daripada Pusat Kawalan Kusta Negara Sungai Buloh, Selangor dan dibenarkan pulang semalam selepas hampir sebulan dikuarantin di sana.
Ashraf meluahkan rasa sebak menerusi Instagramnya kerana terpaksa meninggalkan rakan pesakit koronavirus (Covid-19) yang kini tidak ubah seperti ahli keluarganya sendiri.
"Berat hati ini untuk meninggalkan sahabat-sahabatku di wad ini. Mereka telah ku anggap sebagai keluargaku. Tidak boleh nak terjemahkan perasaan ini," tulisnya.
Menerusi hantaran tersebut, Ashraf turut mengucapkan terima kasih kepada semua penghuni dan kakitangan wad 31 kerana menerima dia dan rakan-rakannya seadanya.
Dia juga mendedahkan bahawa dirinya telah sembuh sehari sebelum Ramadan lagi, namun dia masih berada di wad tersebut atas permintaannya sendiri.
"Saya sekali lagi ingin meminta maaf kepada kawan-kawan semua termasuk rakan artis dan wartawan yang bertanyakan bila saya boleh keluar dari wad. Tapi saya sentiasa mengelak untuk menjawabnya.
"Sebenarnya saya sudah lama negatif sehari sebelum Ramadan dan saya memilih untuk tinggal di wad 31. Banyak sebab keputusan ini dibuat dan yang paling penting ialah saya dapat mengerjakan solat berjemaah dan beribadah bersama-sama dengan pesakit. Ini adalah terapi hati saya untuk lebih tenang," jelasnya.
Ashraf memohon maaf atas tindakannya itu dan mendoakan agar semua pesakit Covid-19 pulih dan dapat berjumpa keluarga masing-masing.
"Terima kasih ALLAH kerana memilih ku sebagai pesakit Covid-19. Syukur kepada-Mu ku merasa nikmatnya," luahnya lagi.
Rakan artis dan pengikutnya di Instagram turut membanjiri kata-kata semangat di ruangan komen hantaran tersebut.
"Semoga semua pesakit Covid-19 pulih dan dapat berjumpa dengan keluarga," komen Fikaaahhh.
"Semoga semua penghuni wad 31 akan sembuh seperti sedia-kala," komen Dnsyiraa.
Hantaran berkenaan mendapat 202,000 tontonan dan 2,660 komen.