19,873 rakyat Malaysia selesai jalani kuarantin wajib

Iklan
Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Seramai 19,873 rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang sejak 17 April lalu hingga kini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, situasi itu mempengaruhi jumlah pusat kuarantin yang beroperasi.

Iklan
Iklan

Katanya, jumlah pusat kuarantin yang beroperasi hari ini tidak bertambah dan kekal 245 buah seperti hari sebelumnya dengan seramai 16,820 individu menjalani sedang proses kuarantin wajib.

"Semalam, seramai 815 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan telah dikuarantin wajib.

Iklan

"Mungkin ramai yang tertanya-tanya, ramai rakyat negara ini yang balik dari luar negara, tetapi pusat kuarantin tidak bertambah. Ia sebenarnya kerana ada yang sudah selesai kuarantin dan dibenarkan pulang ke rumah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar (Non Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Iklan

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 41,541 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara.

Katanya, sehingga semalam, sebanyak 3,832 pasar raya, 2,700 restoran dan1,471 kilang dan 752 bank telah diperiksa.

"Pemeriksaan juga telah dibuat di 652 terminal pengangkutan darat, 78 terminal pengangkutan air dan 90 terminal pengangkutan udara.

"Ia membabitkan pemeriksaan terhadap sebanyak 20,221 buah kenderaan persendirian dan 1,261 kenderaan awam," katanya.

Turut diperiksa adalah 1,309 pasar awam, 2,196 tempat ibadah, 980 tempat riadah dan 485 tapak binaan.

Task Force itu melibatkan seramai 15,351 anggota PDRM termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan sukarelawan Malaysia (Rela),Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Tenaga Kerja dan pihak berkuasa tempatan (PBT).