PUTRAJAYA - Peminjam dan pelanggan yang mahu meneruskan moratorium enam bulan perlu menyatakan persetujuan melalui platform yang disediakan oleh pihak bank masing-masing, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Menurutnya, walaupun sejak 1 April lepas setiap peminjam dan pelanggan dimasukkan ke dalam program moratorium secara automatik, pengesahan nyata daripada peminjam terlibat masih diperlukan dari segi akta dan undang-undang berkaitan.
"Ini kerana Akta Sewa Beli 1967 dan undang-undang dari segi syariah (menetapkan) semua peminjam perlu memberikan kebenaran atau persetujuan kepada bank.
"Sebagai contoh, bank akan menghantar khidmat pesanan ringkas SMS atau e-mel kepada peminjam dan mereka hanya perlu membalas ya atau tidak dan selepas itu moratorium itu akan dilaksanakan," katanya pada sidang media yang turut dihadiri oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin di sini hari ini.
Tengku Zafrul menjelaskan, pengesahan nyata daripada peminjam/pelanggan itu diperlukan bagi memastikan sebarang perubahan seperti dari segi tempoh pinjaman adalah sah dari segi undang-undang.
"Ini demi melindungi pelanggan...persetujuan pelanggan diperlukan bagi sebarang perubahan dalam pinjaman tersebut.
"Katakan (tempoh) pinjaman itu 60 bulan, tapi disebabkan ada moratorium enam bulan, ia akan menjadi 66 bulan. Ini yang mesti mendapat persetujuan peminjam, jika tidak maka pinjaman itu tidak sah,” katanya.
Pada Rabu lepas, Tengku Zafrul mengumumkan bahawa bank-bank bersetuju untuk tidak mengenakan caj tambahan ke atas bayaran ansuran perjanjian sewa beli konvensional dan syariah bagi tempoh sepanjang moratorium tersebut.
Bank Negara Malaysia (BNM) pada 30 April lepas menyatakan bermula pada 1 Mei 2020, peminjam/pelanggan yang mempunyai pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap akan menerima notis pemberitahuan menerusi SMS, e-mel atau surat berdaftar daripada institusi perbankan membabitkan langkah perlu diambil untuk menyempurnakan proses di bawah moratorium itu.- Bernama