SHAH ALAM - Polis telah melaksanakan sebanyak 5,128 pemeriksaan ke atas individu di kawasan tumpuan orang awam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam.
Jurucakap Khas Op koronavirus (Covid-19) Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, bagi fasa ini, pemeriksaan pematuhan telah dilaksanakan dengan mensasarkan lokasi tumpuan seperti pasar raya, restoran, kilang, terminal, pasar awam, tempat ibadah dan riadah serta tapak pembinaan.
"Bagi pergerakan antara negeri yang bermula sejak semalam (7 Mei), pemerhatian dan kajian mendapati di semua lebuh raya dan jalan persekutuan sehingga kini adalah berjalan lancar.
"Di Selangor, kita telah menetapkan 11 sekatan jalan raya (SJR) iaitu di bawah kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang (3), IPD Sepang (3), IPD Hulu Selangor (3), IPD Sabak Bernam (1) dan IPD Serdang (1)," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Menurutnya, pihaknya akan terus memantau dan membuat pemeriksaan di lokasi terbabit dengan memberi nasihat, teguran serta peringatan bagi memastikan semua orang awam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan.
Beliau berkata, bagi IPD yang tidak terlibat dengan SJR, operasi akan memfokuskan pemantauan di kawasan tumpuan orang awam.
Katanya, kepatuhan orang ramai amat penting bagi mencapai matlamat memutuskan rangkaian Covid-19 dalam komuniti. Oleh itu, ditegaskan orang ramai supaya membudayakan kelaziman baharu bagi mencegah pandemik Covid-19.
"Orang ramai hendaklah sentiasa mengamalkan penjarakan sosial, memakai topeng muka, sentiasa mencuci tangan dan bersihkan diri ketika pulang ke rumah," katanya.
Tegasnya, diingatkan sekiranya ada individu yang ingkar arahan PKPB, siasatan dibuat di bawah Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.5) 2020.
Selain itu, tambahnya, seramai 41 penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) telah dihantar pulang ke Sarawak, semalam.
"Bagi 287 penuntut yang baru tiba dari Kuching, Sarawak pula telah ditempatkan di Kampus Pendidikan Islam, Bangi bagi sesi kuarantin yang dibuat dengan teratur dan terkawal," katanya.