PUTRAJAYA - Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 Dun Semenyih akan diadakan pada 2 Mac depan manakala hari penamaan calon ditetapkan 16 Februari ini.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun selepas mempengerusikan mesyuarat khas hari ini.
Azhar berkata pada PRK kali ini, SPR akan meneruskan beberapa penambahbaikan antaranya dengan menyediakan dua saluran khusus bagi pengundi berumur 60 tahun ke atas di setiap pusat pengundi.
" SPR juga akan menambah pusat mengundi dan saluran mengundi bagi PRK Semenyih di mana satu pusat mengundi dan 31 saluran baru diwujudkan bagi menggelakkan jumlah pengundi terlalu ramai
"Selain itu SPR akan meneruskan bagi memanjangkan masa pengundian dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang," katanya ketika sidang media hari ini.
Kerusi Dun Semenyih kosong susulan pemergian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu di Hospital Serdang
Mengulas lanjut, Azhar berkata SPR akan menggunakan Daftar Pemilih Suku Ketiga Tahun 2018 yang dikemas kini sehingga 11 Januari 2019 membabitkan 54,503 orang pemilih berdaftar merangkumi 53,520 orang pengundi biasa, 951 pengundi awal dan 32 orang pengundi tidak hadir luar negara.
Beliau berkata, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Datuk Mohd Sayuthi Bakar dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang akan dibantu empat Penolong Pegawai Pengurus, selain SPR bersetuju menubuhkan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau perjalanan kempen PRK berkenaan.
"SPR akan menggunakan Dewan Seri Cempaka MPKj Saujana Impian sebagai pusat penamaan calon pusat penjumlahan undi.
"Seramai 992 petugas dilantik bagi membantu proses pengendalian PRK Dun Semenyih dengan anggaran peruntukan sebanyak RM1.8 juta," katanya.
Dalam pada itu, Azhar berkata mana-mana badan atau individu yang berminat untuk menjadi Pemerhati Pilihan Raya Kecil ini boleh mengemukakan permohonan kepada SPR sebelum 31 Januari 2019.
Bagi menggalakkan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka, Azhar berkata SPR akan melaksanakan kempen 'Jom Kita Undi' melalui pelbagai saluran media.
"SPR juga mensasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada PRK Dun Semenyih kali ini," katanya.
PRK Dun Semenyih adalah PRK keenam diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14) dengan yang pertama diadakan di Dun Sungai Kandis pada 4 Ogos, Dun Balakong dan Dun Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Oktober) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Januari).
PRK Dun Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung.
Pada PRU14, Allahyarham Bakhtiar, 57, yang mewakili Bersatu menewaskan tiga calon lain, Datuk Johan Abd Aziz (Barisan Nasional), Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan (PSM) dengan majoriti 8,964 undi.
Bakhtiar, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat, memperoleh 23,428 undi.