Sunway sasar bantu 9,000 penerima

Iklan
Sunway Hotels & Resorts dan Adab Youth Garage bekerjasama membuat persediaan dan menghantar bubur lambuk kepada petugas barisan hadapan serta keluarga B40 untuk memberikan mereka keceriaan pada bulan Ramadan.

KUALA LUMPUR - Kumpulan Sunway (Sunway) melancarkan program #SunwayforGood Raya Cheer selama sebulan menjelang musim perayaan untuk memberi keceriaan kepada pelbagai komuniti yang memerlukan dan menyasarkan seramai 9,000 penerima bantuan di seluruh Malaysia pada tahun ini.

Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Sunway, Tan Sri Razman M Hashim berkata, mengambil pendekatan baharu, Sunway memperluas program tersebut kepada pekerja penjagaan kesihatan dan staf perkhidmatan penting bagi menghargai mereka yang telah banyak berkorban kepada negara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tahanan penjara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, agenda tanggungjawab sosial korporat Sunway termasuklah inisia-tif #SunwayforGood untuk bersama-sama mencipta masa depan yang lebih baik.

Katanya, menerusi inisiatif itu, Sunway memberikan sebanyak 6,500 pek bubur lambuk kepada kakitangan barisan hadapan dan keluarga B40 di seluruh Malaysia pada 1 Mei lalu.

Iklan

"Bubur lambuk ini disediakan oleh Sunway Resort Hotel & Spa, Sunway Putra Hotel, Sunway Velocity Hotel, Sunway Hotel di Seberang Jaya dan Sunway Hotel di Georgetown, Pulau Pinang” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Dua cef daripada Sunway Resort Hotel & Spa sedang memasak bubur lambuk.

Razman berkata, menerusi rakan kongsi Sunway, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Adab Youth Garage (AYG) akan memberikan sebanyak 4,500 pek bubur lambuk kepada pekerja barisan hadapan di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang, Hospital Sungai Buloh dan keluarga B40 di sekitar Lembah Klang bermula 1 Mei sehingga 22 Mei 2020.

Iklan

"Kami juga menyediakan makan tengah hari untuk tahanan penjara pada 16 Jun 2020 melibatkan seramai 1,700 tahanan di Penjara Wanita Kajang. Mereka juga akan diberikan kelengkapan mandi dan kuih yang dijual oleh tahanan penjara,” katanya.

Menurutnya, Komuniti Belia Selangor juga akan menyampaikan hadiah berbentuk pakaian baharu, makanan dan duit raya serta peralatan mandi kepada seramai 170 penerima yang merupakan penjaga dan anak-anak daripada empat buah rumah anak yatim. Ia adalah sumbangan daripada Sunway Malls.

"Sunway melalui Sunway Lost World of Tambun akan memberikan sebanyak 350 bungkus makanan kepada gelandangan di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak.

"Sunway City Iskandar pula akan memberikan sebanyak 900 bungkus makanan kepada mereka yang berada di Kem Wawa-san Negara Gunung Pulai, Johor,” katanya.

"Sunway menjalankan inisiatif untuk kemajuan manusia, planet dan ekonomi di bawah #SunwayforGood yang memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 65,000 penerima pada tahun ini,” kata beliau.

Seorang penerima bubur lambuk daripada Sunway baru-baru ini.