[LAPORAN KHAS] Covid-19 ‘kapankan’ hotel-hotel Malaysia

Iklan
GTower mengumumkan penutupan hotel yang mempunyai 180 bilik itu menerusi satu kenyataan di Facebooknya.

SHAH ALAM - Umpama telur di hujung tanduk, begitulah situasi tepat menggambarkan masa depan sektor perhotelan Malaysia pada ketika ini disebabkan pandemik Covid-19 yang kini telah dan hampir 'mengapankan' tidak kurang 18 buah hotel di seluruh negara.

Hotel-hotel itu sama ada terpaksa menutup operasi sepenuhnya atau menutup operasi buat sementara waktu sehingga industri perhotelan kembali pulih.

Hotel GTower membuat pengumuman penutupan hotel itu di akaun Facebook miliknya.

Iklan
Iklan

Menurut Setiausaha Agung Kesatuan National Union of Hotel, Bar & Restaurant Workers Peninsular Malaysia (NUHBRW), Rusli Affandi, setakat ini lima buah hotel di bawah kesatuan itu telah memaklumkan penutupan sementara dan sepenuhnya operasi masing-masing.

"Hotel yang menutup sepenuhnya operasi ialah Hotel Shah Beach Melaka, Ramada Plaza Melaka dan Shah Village Petaling Jaya, manakala hotel yang ditutup sementara ialah Westin Langkawi dan Andaman Langkawi,” kata Rusli kepada Sinar Harian semalam.

Iklan

Rusli, 52, berkata, meskipun virus Covid-19 tidak kelihatan, namun ia telah meninggalkan impak nyata terhadap pelbagai sektor ekonomi, tidak terkecuali industri perhotelan negara.

"Kesuraman industri pelancongan sekali gus menjejaskan bilangan pengunjung dan pelancong yang menetap di hotel.

Iklan

"Selain itu, sekatan perjalanan sama ada domestik dan antarabangsa yang dilaksanakan bagi mengekang penularan virus maut tersebut menyebabkan pendapatan industri perhotelan terjejas teruk dan akhirnya tidak mampu bertahan,” katanya.

Rusli

Dalam pada itu, antara hotel lain yang telah memaklumkan penutupan sepenuhnya hotel mereka ialah Hotel GTower Kuala Lumpur yang terletak betul-betul di tengah-tengah ibu kota iaitu di Jalan Tun Razak.

"Kami berbesar hati dapat memberi perkhidmatan kepada ribuan tetamu sejak sedekad lalu. Untuk makluman, GTower akan menutup operasi dan adalah sesuatu yang amat menyedihkan untuk kami mengucapkan selamat tinggal,” kata satu kenyataan GTower dalam Facebooknya.

Lambat pulih

Selain itu, Plenitude Bhd dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia April lalu turut memaklumkan penutupan operasi tiga hotel miliknya iaitu Mercure Penang Beach dan Hotel The Gurney Resort and Residences di Pulau Pinang selain Travelodge Ipoh di Perak.

Berdasarkan laporan media, Plenitude telah menamatkan operasi tiga hotel itu sepenuhnya. Namun, wartawan Sinar Harian yang cuba mendapatkan komen lanjut dimaklumkan pihak Plenitude bahawa mereka masih belum memutuskan sama ada akan membuat penutupan kekal atau sementara waktu.

Dalam pada itu, beberapa hotel lain yang sah terpaksa menutup operasi buat sementara waktu ialah Hotel Jazz Penang, Jerejak Island Resort, Hotel Penaga, Hotel Rainbow Paradise, Hotel Impiana Ipoh, Marina lsland Resort Pangkor, Hotel Syuen Ipoh dan Hotel Excelsior Ipoh.

NUHBRW memaklumkan sudah menerima e-mel penutupan operasi daripada pihak Hotel Shah Village Petaling Jaya.

Sementara itu, Rusli mengakui industri perhotelan negara memerlukan masa yang lama untuk kembali bangkit.

Katanya, disebabkan faktor itu adalah tidak berbaloi untuk hotel meneruskan operasi kerana kekangan kemasukan pelancong antarabangsa dan kekangan rentas sempadan akan menyebabkan kos operasi menjadi lebih tinggi.

Berbicara tentang isu penutupan hotel, secara peribadi Rusli berkata, ia turut meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya.

"Saya sendiri pekerja di Ramada Plaza selama hampir 32 tahun sebelum mengambil cuti sebagai pegawai kesatuan,” kata Rusli yang berpengalaman sebagai pelayan dan kapten coffee house selain bertugas di bahagian servis bilik dan jamuan.

Katanya, penutupan Ramada Plaza yang juga hotel antarabangsa pertama beroperasi di Melaka pada tahun 1984 itu memang tidak dijangka.

Ramada Plaza di Melaka menjadi hotel lima bintang pertama ditutup operasi baru-baru ini.

"Apabila sebut Melaka, automatik akan teringat Ramada. Penutupan Ramada Plaza bererti hilang seri Bandaraya Melaka.

"Ramai terkejut apabila menerima notis penutupan dan kebanyakan pekerja junior masih tidak dapat menerima kenyataan.

"Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu telah memberi kesan kepada kewangan syarikat. Sehingga notis penutupan hotel dikeluarkan, Ramada Plaza sudah tidak menerima tetamu dan ini menyebabkan ia mengalami kerugian besar,” katanya berhubung nasib hotel kebanggaan Melaka yang berusia hampir 40 tahun itu.

Akui Rusli, selain faktor Covid-19, lambakan hotel yang tumbuh bak cendawan selepas hujan di Melaka menjadikan peluang perniagaan semakin sengit.

"Terlalu banyak hotel di Melaka, setiap bilik perlu dijual untuk mendapat pulangan tetapi apabila ada terlalu banyak maka tiada permintaan, maka hotel terpaksa bermain dengan harga.

"Bayangkan harga bilik lima bintang boleh jatuh sehingga RM140 termasuk bufet sarapan.

Senarai hotel yang ditutup operasi sepenuhnya dan sementara di Malaysia.

"Tiada kawalan dalam pembukaan hotel hingga merosakkan industri perhotelan itu sendiri dan itu tidak termasuk saingan daripada homestay,” katanya.

Rusli berkata, NUHBRW yang dianggotai seramai 8,000 ahli akan membantu sebaik mungkin dalam melindungi hak pekerja hotel, bar dan restoran ketika waktu sukar ini.