GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang belum lagi membuat keputusan untuk membenarkan sebarang aktiviti diadakan di dalam masjid dan surau termasuk solat Jumaat bersyarat seperti yang akan dilakukan di Perlis mulai 15 Mei ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, sebelum ini memang ada cadangan untuk membuka sebahagian aktiviti pengimarahan masjid terutamanya dalam bulan Ramadan, namun tiada sebarang kata putus dapat dibuat ketika ini.
"Di peringkat Pusat telah berlangsung perbincangan dan telah ada beberapa cadangan yang perlukan keputusan beberapa jawatankuasa peringkat tertinggi sebelum ianya dapat dilaksanakan oleh negeri-negeri.
"Malah di peringkat negeri sendiri perkara ini perlu dibincang dalam Jawatankuasa Keselamatan Negeri sebelum sebarang ketetapan dibuat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Semalam, Sinar Harian melaporkan kerajaan Perlis memberi kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat bersyarat mulai 15 Mei ini sebagai permulaan bagi membolehkan 'Syiar Jumaat' dihidupkan kembali di negeri itu.
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika mengumumkan perkara itu berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.
Menurutnya, Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua MAIPs bertitah kebenaran itu tidak dapat diizinkan kepada masyarakat awam disebabkan ancaman penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang belum pulih sepenuhnya.
Sebelum ini Jawatankuasa Dewan Tertinggi Majlis Dakwah Negara (MDN) menggesa kerajaan membenarkan solat Jumaat dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri diadakan di beberapa masjid utama di seluruh negara.
Pengerusinya, Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid berkata, gesaan itu dibuat memandangkan kerajaan telah membenarkan sektor ekonomi dan sosial dibuka semula selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Katanya, jika PKPB boleh dilaksanakan, ini bermakna perhimpunan bersyarat di masjid dan surau bagi tujuan solat Jumaat dan solat Hari Raya Aidilfitri juga boleh dilakukan.