ORANG ramai kini tidak perlu lagi menempuh kesesakan lalu lintas untuk ke Terminal Skypark Subang.
Ini kerana perkhidmatan tren yang mula beroperasi pada 1 Mei tahun lalu itu, bakal memudahkan pergerakan dan menjimatkan masa mereka.
Orang ramai yang menggunakan perkhidmatan tren Skypark Link dari KL Sentral hanya memerlukan 30 minit untuk tiba di Lapangan Terbang Subang.
Tren akan bergerak ke Stesen Terminal Skypark setiap sejam. Ia akan berhenti di Stesen Subang Jaya sebelum menuju ke Stesen Terminal Skypark.
"Pergerakan tren Skypark Link adalah efisien, selesa dan berbaloi,” kata Pengurus Besar Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter, Khair Johari Ishak dalam wawancara khas bersama Sinar Harian.
Apa yang menarik, tren yang disediakan itu juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang bakal memberi maanfat dan keselesaan kepada para penumpang.
"Apabila laluan ekspres ini diwujudkan, salah satu faktor yang difikirkan adalah bagaimana untuk memberi keselesaan kepada orang ramai.
"Kami telah membuat ubah suai dalam tren dengan menyediakan pelbagai kemudahan antaranya tempat letak bagasi, tempat duduk OKU dan juga perkhidmatan Wifi,” katanya.
Bagi memastikan kelancaran penumpang di dalam tren, KTM Komuter turut menyediakan kakitangan khas untuk membantu keperluan mereka sepanjang perjalanan.
Tidak cukup dengan itu, pihak KTM Komuter juga menyediakan pelbagai kemudahan di stesen berkenaan seperti surau, troli selain caj parkir kereta yang murah iaitu dengan kadar bayaran hanya RM 4 sehari.
Kadar tambang berpatutan
Menyentuh tentang harga tambang, bagi Khair, KTM Komuter menawarkan kadar yang sangat berpatutan kepada penumpang selain tawaran istimewa bagi mereka yang mengambil pas bulanan.
"Sebenarnya, tambang tren Skypark Link mula dikenakan pada 1 Januari tahun ini. Selepas dilancarkan pada 1 Mei tahun lalu, kita telah memberi perkhidmatan percuma selama 7 bulan sebagai salah satu cara pengenalan perkhidmatan ini,” katanya.
Menurutnya, terdapat tiga jenis tambang yang dikenakan iaitu, tambang dewasa tunai, tambang dewasa tanpa tunai dan konsesi.
Tambang dewasa tunai dari KL Sentral ke Stesen Terminal Skypark adalah sebanyak RM11 manakala dari KL Sentral ke Stesen Subang Jaya adalah sebanyak RM5.
RM5 juga dikenakan dari Stesen Terminal Skypark tetapi jika pelanggan menggunakan bayarantambang dewasa tanpa tunai iaitu melalui kad Komuter Link atau Touch’n GO, tambang yang dikenakan dari KL Sentral ke Stesen Terminal Skypark hanyalah RM10.
Bagi tambang konsesi, kanak-kanak berumur 2-12 tahun, warga emas 60 tahun ke atas, orang kelainan upaya (OKU), pelajar sekolah menengah serta IPT hanya perlu membayar 50% daripada tambang penuh dewasa tunai. Contohnya dari KL Sentral ke Stesen Terminal Skypark hanya perlu membayar RM5.50.
Manakala perjalanan dari KL Sentral ke Stesen Subang Jaya dan dari Subang Jaya ke Stesen Terminal Skypark kadar bayarannya adalah RM2.50.
Bagi memudahkan penumpang, KTM turut menyediakan pas bulanan.
"Kita sasarkan golongan pekerja yang berulang-alik di laluan Terminal Skypark ini menerusi diskaun tambang sebanyak 40 peratus.
"Caj tambang dikira 20 hari pergi-balik tetapi ia sah digunakan untuk 30 hari. Menerusi pas bulanan ini, dalam sehari mereka boleh menggunakannya tanpa had mengikut destinasi asal dan destinasi yang tercatat pada pas bulanan tersebut,” jelasnya.
Menyentuh lebih lanjut katanya, harga pas bulanan dari KL Sentral ke Terminal Skypark adalahRM360 sebulan dan boleh digunakan tanpa had setiap hari.
Lebih menguntungkan, perjalanan dari KL Sentral ke Stesen Subang Jaya atau dari Stesen Subang Jaya ke Stesen Terminal Skypark hanya dikenakan bayaran sebanyak RM162 sahaja.
Melalui tawaran ini, ternyata pelanggan yang menggunakan pas bulanan lebih berbaloi kerana diberikan diskaun sebanyak 40%.
Justeru, beliau menyeru orang ramai mengambil peluang ini terutamanya bagi mereka yang sering ke Terminal Skypark, selain penduduk setempat.
INFO:
- Projek Landasan Berkembar Elektrik adalah projek di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia yang bertujuan menyediakan kemudahan pengangkutan awam berasaskan rel kepada pengguna Lapangan Terbang Skypark khususnya dan penduduk kawasan sekitar amnya.
- Menyasarkan seramai 3,250 penumpang sehari.
- Jarak dari KL Sentral ke Stesen Terminal Skypark adalah sejauh 26 KM.