PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mula membuka operasi pejabatnya di seluruh negara secara janji temu bagi membantu orang ramai yang mempunyai urusan dokumen pengenalan diri yang tertangguh sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
JPN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, operasi berkenaan telah dibuka sejak hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kecuali pejabat JPN di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
"Ia selaras dengan pengumuman oleh kerajaan. Semua urus niaga di JPN telah dibuka mulai 4 Mei 2020 secara janji temu pada setiap hari bekerja bermula 8.30 pagi hingga 4.00 petang. Pelanggan yang ingin berurusan perlu membuat janji temu dengan menghubungi talian Pejabat Perkhidmatan Pelanggan JPN di seluruh negara.
"Perkhidmatan secara janji temu ini diambil bagi memastikan langkah-langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 dapat dipatuhi terutamanya dari aspek penjarakan sosial," menurut kenyataan itu.
JPN memaklumkan, memandangkan semua pejabat telah beroperasi, ia telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat semasa pengoperasiannya dalam tempoh PKPB ini.
Menurut JPN, antara langkah kawalan yang diambil adalah mencatatkan maklumat pelanggan yang hadir, mengambil bacaan suhu badan, penggunaan cecair pembasmi kuman serta melaksanakan sanitasi peralatan kaunter dari masa ke masa.
JPN menyatakan pemohon yang telah mendapatkan janji temu hanya dibenarkan hadir seorang sahaja untuk berurusan dan mematuhi masa yang telah ditetapkan bagi memastikan kehadiran pelanggan di pejabat pada satu-satu masa dapat dikawal dan penjarakan sosial dapat dipatuhi.
"Bagi urus niaga seperti permohonan MyKad kanak-kanak 12 tahun atau upacara perkahwinan yang memerlukan lebih daripada seorang hadir, pemohon akan dinasihatkan hadir dengan jumlah yang sangat minimum.
"Orang ramai dinasihatkan tidak terus hadir ke pejabat JPN tanpa janji temu kerana tiada jaminan perkhidmatan dapat diberikan kerana tertakluk kepada kekosongan slot janji temu. Sekiranya urusan tidak mustahak dan boleh ditangguhkan, pemohon juga dinasihatkan supaya hadir ke pejabat JPN selepas tempoh PKP tamat," menurut kenyataan itu.
JPN menyebut pengumuman kerajaan berkaitan pendaftaran kelahiran boleh dibuat dalam tempoh 90 hari selepas PKP ditamatkan dan tiada denda dikenakan masih berkuat kuasa, justeru orang ramai tidak perlu tergesa-gesa untuk mendaftar kelahiran.
Maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan JPN semasa PKPB boleh dirujuk di laman sesawang JPN www.jpn.gov.my atau saluran media sosial rasmi JPN.- Bernama