WASHINGTON - Setiausaha akhbar Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Mike Pence disahkan positif koronavirus (Covid-19) sekali gus mencetuskan kebimbangan tentang penularan wabak itu dalam kalangan kakitangan dan pemimpin Rumah Putih.
Pengumuman tentang keadaan Katie Miller yang juga isteri kepada salah seorang penasihat kanan Presiden Donald Trump itu didedahkan ketika beliau bertemu dengan anggota Republikan kelmarin sehari selepas pelayan peribadi pemimpin itu juga didiagnos positif virus tersebut.
"Sebelum ini, keputusan ujian Katie adalah negatif sebelum ia disahkan positif hari ini," kata Trump yang turut menjelaskan beliau tidak mempunyai kontak rapat dengan wanita itu kerana beliau lebih banyak menghabiskan masa bersama Pence.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Kayleigh McEnany dalam satu kenyataan turut mempertahankan usaha yang diambil mereka untuk melindungi Trump dan Pence daripada ancaman wabak itu.
"Kami telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi Presiden," ujarnya.
Difahamkan, Trump dan Pence masih meneruskan jadual awam yang sibuk.
Pence yang mengetuai pasukan petugas Covid-19 dilaporkan telah terbang ke Iowa untuk bertemu pemimpin agama untuk membincangkan tentang kebenaran mengadakan aktiviti keagamaan dan bekalan makanan ke rantaian runcit Hy-Vee di Midwest.
Presiden ke-45 AS itu bersama Wanita Pertama, Melania Trump turut menghadiri acara awam di memorial Perang Dunia Kedua bersama para veteran tentera yang dilihat tidak memakai topeng muka.
Trump kemudiannya mengadakan pertemuan bersama anggota Republikan di Kongres sekali lagi tanpa memakai topeng muka.- Agensi