ALOR SETAR - Ikon pelancongan dan sejarah Kedah, Kompleks Pekan Rabu di Jalan Tunku Ibrahim di sini dibuka semula bermula hari ini selepas ditutup hampir dua bulan sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas.
Tinjauan Sinar Harian mendapati kompleks berkenaan mula menerima kehadiran pelanggan untuk membeli barangan keperluan dan membuat persiapan Syawal masing-masing-masing.
Peniaga, Mohd Azhar Md Nor, 46, berkata, jumlah pelanggan ke kedainya Azhar Tailor Pekan Rabu di tingkat bawah pada hari pertama pembukaan kompleks agak sedikit.
Menurutnya, keadaan berkenaan berkemungkinan disebabkan masih ramai tidak sedar dengan pembukaan semula Pekan Rabu selain ada pelanggan mungkin masih takut-takut untuk keluar rumah.
"Hari ini, hari pertama Kompleks Pekan Rabu dibuka semula dan perniagaan dilihat biasa sahaja serta agak perlahan berbanding kebiasaan pada bulan Ramadan sebelum ini.
"Yang pertamanya, mungkin orang tidak tahu Pekan Rabu sudah dibuka dan sebilangan mungkin masih tidak berani untuk datang membeli-belah seperti biasa lagi," katanya.
Mohd Azhar berkata, beliau yang menjual songkok serta menjahit aneka pakaian seperti jubah, kemeja dan baju Melayu menjangkakan jumlah pelanggan akan lebih ramai pada hari-hari akan datang.
Peniaga kuih tradisional, Mohd Nasri Bahari, 55, pula berkata, beliau juga merasakan masih ramai tidak tahu bahawa Kompleks Pekan Rabu dibuka hari ini selepas ditutup pada 18 Mac lepas.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak meletakkan sebarang sasaran untuk menjual kuih-kuih tradisional di premisnya pada hari pertama pembukaan Pekan Rabu itu.
"Hari ini, saya datang untuk susun dan simpan barang di kedai terlebih dahulu memandangkan Pekan Rabu baru dibuka semula, jika ada rezeki pelanggan membeli maka adalah rezeki," katanya.
Katanya, kebiasaannya pelanggan akan mula rancak membeli barangan masing-masing pada 15 Ramadan ke atas dan menjelang Syawal, cumanya kali ini mungkin lain sedikit disebabkan PKP.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Pekan Rabu Alor Setar Berhad, Mohamed Jalaludin Mohd Noor berkata, kira-kira 300 pelanggan mengunjungi kompleks berkenaan pada hari pertama pembukaan semula Pekan Rabu setakat jam 1 petang tadi.
Menurutnya, pihaknya mendapati kehadiran orang awam agak baik malah mereka juga memberi kerjasama dengan mematuhi syarat dan garis panduan ditetapkan.
Beliau berkata, pihaknya telah mengambil langkah persediaan untuk membuka kompleks mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memberi jaminan keselamatan kepada semua pihak.
"Antaranya, kita mengehadkan jumlah pelanggan satu-satu masa dan mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan suhu, mengambil nombor dan mengisi borang terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk.
"Sebagai contohnya, ada pelanggan membawa anak berusia bawah 12 tahun, kita tidak benarkan masuk dan akan menyediakan kerusi untuk mereka duduk, yang mana ibu bapa boleh membawa pakaian untuk diukur ke badan anak mereka ke kawasan itu," katanya.
Katanya, kedai-kedai di bangunan empat tingkat berkenaan akan dibuka bermula jam 9 pagi hingga 8 malam manakala kedai makan untuk bulan Ramadan ini dibuka mulai jam 3 petang hingga 8 malam.
Tambahnya, setakat ini, kira-kira 70 peratus dari keseluruhan lebih 300 peniaga telah mula menjalankan perniagaan masing-masing di premis berkenaan.