KUALA TERENGGANU –"Kenapa babah tak sama dengan ayah orang lain? Boleh bawa jalan-jalan, main sama-sama.”
"Kenapa ALLAH buat babah sakit, kalau babah tidak sakitkan, senang Awfiyah hendak sentuh babah.”
Itu antara persoalan sering dilontarkan tiga beradik, Muhammad Aqif Rayyan, 7; Awatif Nur Adawiyah, 6 dan Awfiyah Nur Umairah, 4, yang menyentuh hati dan perasaan ibu mereka, Norhaspida Yatim, 34.
Hati wanita itu sebak apabila anak kecilnya sering dimarahi kerana menerpa dan menepuk badan ayah mereka, Azlan Bahrum, 36, yang menderita gout kronik iaitu penyakit membuatkan semua sendinya bengkak akibat lebihan asid urik.
"Sayu hati saya, dalam banyak-banyak hal saya boleh terima tapi bila saya dengar sendiri anak kecil saya sebut macam itu lepas kena marah, hati saya rasa sayu.
"Saya juga susah hendak menangis, tapi bila terkenangkan soalan yang macam-macam terkeluar dari mulut anak-anak, laju air mata ini mengalir,” luah Norhaspida kepada Sinar Harian hari ini.
Keadaan kesihatan Azlan yang semakin hari makin merosot menyebabkan beliau tidak mampu mempamerkan kasih sayang dan menunaikan tanggungjawab kepada anak-anaknya dengan sempurna sama seperti ayah lain.
"Anak kecil yang tidak tahu apa-apa, sejak lahir hingga seusia ini kurang mendapat perhatian dan kasih sayang ayah akibat kekangan kesihatan yang dialami sejak bertahun-tahun lamanya.
"Bayangkan, dia tidak berapa boleh pegang anak kecil apatah lagi dukung, takut terlucut, terlepas anak. Jadi, tiga-tiga anak saya yang uruskan seorang diri sejak dari bayi hingga kanak-kanak.
"Boleh kira dengan jari dia mandikan anak, pakaikan baju. Bukan dia tidak mahu tapi dia tidak mampu kerana penyakitnya itu.
"Tapi saya 'tabik' dalam keadaan sakit dia cuba sedaya mungkin untuk tolong saya, itu sikap yang ada pada dia yang saya benar-benar kagum,” katanya.
Norhaspida yang merupakan wartawan akhbar Sinar Harian Terengganu berasal dari Pahang mendirikan rumahtangga dengan Azlan, bekas jurugambar akhbar Utusan Malaysia lapan tahun lalu.
Wanita kecil molek berjiwa kental itu berkata, sewaktu mula-mula berkahwin suaminya memang ada penyakit gout namun beliau tidak menyangka ia seteruk ini.
"Sejak kahwin lapan tahun lalu hingga sekarang tiada hari yang dia tidak sakit, teruk dengan tidak teruk sahaja. Ada hari sakit sikit, ada hari sakit banyak (gout attack). Ada hari jem satu badan, waktu itu makan bersuap, kencing bertadah, macam yang berlaku sekarang ini.
"Saya pasrah dengan ketentuan ini, saya menerima ujian dan takdir ini walaupun awal-awal dulu hati ini sering memberontak,” katanya.
Umpama jatuh ditimpa tangga, selain gout kronik, Azlan yang berasal dari Perak kini turut dikesan mempunyai masalah buah pinggang tahap tiga ke tahap empat.
Beliau juga sudah tidak mampu bangun dan berjalan seperti biasa sejak 10 hari dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hanya terlantar di katil sambil memerhatikan anak-anaknya bermain sesama sendiri dalam rumah.
Menurut Norhaspida, tahap kesihatan suaminya semakin merudum sejak Utusan Malaysia ditutup pada September lalu dipercayai stres kerana hilang punca pendapatan.
"Sebelum ini saya pernah juga berdepan beberapa episod sakit dia yang teruk, ada sampai terlantar dua bulan di rumah waktu itu anak-anak kecil lagi, sebab healing crisis setiap kali cuba ubat untuk sembuhkan penyakit dia.
"Selama ini dia bergantung dengan ubat tahan sakit, mungkin sebab itu juga buah pinggang rosak. Selama dia bekerja, hampir setiap hari telan ubat tahan sakit sebab nak cepat baik.
"Kesannya sekarang buah pinggang dah tidak boleh terima lagi, doktor pun sudah tidak bagi dia makan ubat tahan sakit dan saya hanya mampu menunggu bila dia boleh bangun dan berjalan dengan baik.
"Kalau ubat, macam-macam jenis ubat, cakap sahaja ubat apa yang tidak pernah cuba. Hampir semua dia cuba setakat ini tapi tiada yang berhasil, ada yang memberikan kesan healing crisis yang dia sendiri tidak boleh hendak hadapi,” katanya.
Berbekalkan kudrat wanita, beliau terpaksa kuatkan semangat menjaga suaminya tanpa kehadiran keluarga tersayang kerana mereka tidak dapat datang melihat Azlan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menghalang pergerakan merentas negeri.
"Mujurlah ada kawan-kawan media lelaki yang boleh angkat untuk mandikan dia, cuci najis dalam lampin pakai buang ketika di wad hospital sebelum ni.
"Rasa bersyukur sangat-sangat mereka banyak menolong. Kalau saya sorang dengan badan yang kecil ini memang tidak boleh hendak uruskan dia seorang diri,” katanya.
Selagi hayat dikandung badan, beliau akan bertahan dan terus menunaikan tanggungjawabnya sebagai isteri, ibu dan ketua keluarga hingga anak-anak besar serta boleh memahami situasi bapa mereka.
Norhaspida juga berdoa supaya ALLAH SWT menghilangkan kesakitan dan memberi kesembuhan buat suaminya agar anak-anak dapat merasai nikmat kasih sayang seorang ayah.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban mereka sekeluarga boleh menghulurkan sumbangan ke dalam akaun Maybank bernombor 114076071284 atas nama Azlan Bahrum.