SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berpendapat bahawa proses demokrasi negara kian terhakis di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional.
Menurutnya, perkara itu dapat dilihat apabila kerajaan di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa cuba untuk mengelak daripada mengadakan sidang Dewan Rakyat.
"Jadi saya hairanlah apa sebenarnya kerajaan Perikatan Nasional di bawah Muhyiddin ini, kalau kita dapati dalam mesyuarat Dewan Rakyat tidak ada sokongan majoriti maka dia tidak berhak menjadi Perdana Menteri.
"Untuk elak daripada itu berlaku dia tidak benarkan kita bermesyuarat dan hanya buat mesyuarat satu hari sahaja serta tidak membenarkan untuk membawa usul,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Perutusan 9 Mei: Mandat Rakyat bersempena sambutan ulang tahun kedua Pakatan Harapan di Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Langkawi itu menyifatkan usaha itu seolah-olah menyekat proses demokrasi sedangkan rakyat menentukan nasib mereka melalui pelantikan wakil-wakil rakyat.
"Wakil-wakil mereka yang akan tentukan sama ada seseorang itu dipilih menjadi Perdana Menteri ataupun tidak," katanya.
Menurutnya, dengan tanpa mesyuarat di Dewan Rakyat mereka tidak boleh menentukan kedudukan Muhyiddin dan strategi itu dilihat tidak demokratik.
"Kalau dulu kerajaan Najib (Datuk Seri Najib Razak) dikatakan kerajaan pencuri atau kleptokrasi tetapi kerajaan Muhyiddin ini pula tidak memberi peluang buat kita untuk berbahas dalam Parlimen bukan lagi kerajaan demokratik tetapi tiada ketetapan.
"Inilah yang dilakukan secara tidak langsung dan saya harap rakyat faham apa yang berlaku,” katanya.
Mengulas lanjut, Mahathir turut mengingatkan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar kembali kepada tujuan asal penubuhan parti itu dalam memperjuangkan nasib orang Melayu dan bumiputera.
Katanya, kedudukan Bersatu kini berada di tangan mereka yang kini berpecah kepada dua dengan ada sesetengah daripada mereka menyokong Muhyiddin dan di pihak lain pula, mereka tidak mendapat sokongan daripada Pakatan Harapan (PH).
"Bersatu kini terkontang-kanting dan tidak tahu kedudukan mereka di mana, jadi sudah tentu jika ada pilihanraya Bersatu besar kemungkinan sukar untuk terus kekal.
"Jadi sekiranya, Bersatu kalah teruk maka harapan orang Melayu kepada Bersatu untuk menggantikan UMNO dengan parti Melayu yang lain akan hilang,” katanya.