SEMPENA menyambut Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2020 pada 3 Mei lalu, pertubuhan yang bernama Reporters Without Borders (RWB) telah mengeluarkan Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2020 atau World Press Freedom Index 2020.
Kedudukan Malaysia dalam indeks tahunan RWB itu, yang pertama kali dikeluarkan pada 2002 oleh pertubuhan pemantau kebebasan media dunia yang beribu pejabat di Paris, Perancis itu, adalah semakin baik.
Daripada 180 buah negara yang dipantau oleh RWB, Malaysia berada pada kedudukan 101 dari segi kebebasan media bagi tahun 2020 iaitu melonjak sebanyak 22 anak tangga berbanding tahun sebelumnya.
Pada 2019, kita berada pada tangga 123 dalam kalangan 180 buah negara. Untuk tempoh yang agak lama antara 2013 hingga 2018, kita berada pada kedudukan 145 hingga 147. Pertukaran kerajaan pada Pilihan Raya Umum pada Mei 2018 telah mengubah landskap kebebasan media yang didambakan oleh para pengamal sejak sekian lama.
Walaupun janji-janji untuk memansuhkan kerangka perundangan yang dianggap mengongkong belum lagi dilaksanakan sepenuhnya baik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini atau Perikatan Nasional (PN) sekarang, tetapi tindak-tanduk pemerintah terhadap media pasca-PRU 2018 telah dinilai lebih bermakna oleh RWB dari sudut kebebasan media.
Dari segi kategori pula, kedudukan 101/180 itu membolehkan Malaysia diletakkan dalam kelompok negara-negara yang situasi bermasalah, berbanding situasi sukar sebelum 2020.
Kita patut berbangga kerana dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara, Malaysia adalah satu-satunya negara dalam kategori ketiga peta indeks kebebasan media itu.
Sembilan buah negara ASEAN yang lain termasuk Indonesia yang disanjung akan kebebasan media pascareformasi 1998, kekal berada dalam kategori keempat iaitu situasi sukar yang merupakan kedudukan kedua tercorot dalam indeks RWB.
Kedudukan yang paling unggul adalah negara-negara yang berada dalam kategori situasi baik, diikuti situasi memuaskan. Malaysia yang kini berada pada situasi bermasalah hanya selangkah lagi untuk diletakkan pada situasi memuaskan.
Pencapaian
Malah, berikutan pencapaian yang kita peroleh dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia RWB 2020 itu, sudah ada suara-suara optimistik bahawa kedudukan untuk meletakkan Malaysia dalam kategori situasi memuaskan bukanlah sesuatu yang mustahil.
Prasyaratnya cuma satu: kerajaan hendaklah segera meliberalkan lagi kerangka perundangan sebilangan akta berkaitan media, baik secara langsung atau tidak langsung, seperti yang dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Secara spesifik, kerangka perundangan yang dimaksudkan itu meliputi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, beberapa peruntukan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1986, Akta Hak Cipta 1967, Kanun Keseksaan dan sebilangan yang lain.
Dan sekiranya Malaysia boleh menjadikan kebebasan media sebagai sesuatu yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, menyamai First Amendment yang terdapat dalam perlembagaan Amerika Syarikat, selain mewujudkan Majlis Media Malaysia dan memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat dan Akta Melindungi Sumber Wartawan, maka kedudukan kita dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia RWB itu sudah pasti dapat dilonjakkan ke kategori baik atau setidak-tidaknya memuaskan.
Sasaran untuk meletakkan Malaysia dalam sekurang-kurangnya kelompok 50 buah negara terbaik dalam indeks RWB itu patut dijadikan matlamat bukan sahaja oleh pihak kerajaan tetapi organisasi dan pengamal media di negara ini.
Hal ini dikatakan demikian kerana kesediaan kerajaan untuk melonggarkan atau malah memansuhkan kerangka perundangan hanya akan berkesan seandainya pengamal media bersedia memainkan peranannya sebagai anggota jagawan estet keempat yang bebas dan bertanggungjawab.
Tercungap-cungap
Tetapi tentulah kewujudan iklim kebebasan media yang lebih baik menurut ukuran pihak luar tidak akan memberi apa-apa makna sekiranya organisasi media itu sendiri, terutama media cetak, berada dalam keadaan yang tercungap-cungap untuk meneruskan kelangsungan bisnes terutamanya pada masa sekarang.
Sudahlah sesetengah organisasi media di alam nyata terpukul oleh gangguan teknologi digital yang menyebabkan pendapatan pengiklanan dan penjualan produk bercetak yang diperoleh merosot dengan banyaknya.
Kini atau lebih tepat lagi sejak awal tahun ini, pandemik Covid-19 yang telah memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula bagai satu lagi tamparan terhadap media untuk meneruskan perjuangannya sebagai jagawan estet keempat.
Apakan tidaknya, gangguan teknologi digital dan bahana Covid-19 telah memaksa The Edge Financial Daily menghentikan edisi bercetaknya pada 22 April selepas 13 tahun berada dalam pasaran.
Pada 30 April pula, gara-gara Covid-19 telah menyegerakan penutupan operasi sebuah syarikat penerbitan majalah menyebabkan 183 petugas editorial kehilangan pekerjaan. Untuk mengawal kos operasi, sebuah akhbar bahasa Cina, Oriental Daily News menghentikan penerbitan akhbar hujung minggunya.
Rakyat yang terperap di rumah kerana PKP tidak lagi membeli surat khabar. Ada yang berpendapat dalam menghadapi keadaan tenat itu, kerajaan yang telah bermurah hati membantu pelbagai industri yang terpukul oleh pandemik Covid-19, wajar juga menghulurkan suntikan dana khusus untuk menolong industri media terutama media surat khabar yang sedang berhada-pan dengan zaman sukarnya.
Kalau kerajaan boleh menyediakan bantuan berbilion ringgit untuk menyelamatkan syarikat penerbangan, peneroka Felda, penoreh getah, usahawan, bidang perhotelan, universiti dan industri pembinaan, kerajaan juga wajar menimbang suntikan dana ke dalam industri media di negara ini.
Jangan industri media dianaktirikan. Kalau suntikan dana secara langsung tidak dapat dipertimbangkan, barangkali apa yang diperlukan adalah bantuan secara tidak langsung menerusi perbelanjaan pengiklanan.
Di United Kingdom (UK), akhbar The Guardian melaporkan kerajaan telah pun mempelopori skim perkongsingan pengiklanan bernilai 45 juta pound sterling (RM242 juta) untuk menyokong industri persuratkhabaran di negara tersebut. Kerajaan UK juga telah menulis kepada 100 pengiklan terbesar untuk turut sama membantu para penerbit akhbar yang sedang sakit akibat pandemik Covid-19.
Kaedah pembelian ruangan iklan oleh kerajaan ini, baik dalam surat khabar, program radio dan TV serta portal berita adalah lebih profesional berbanding pemberian subsidi atau geran yang dilakukan oleh sebilangan negara membangun yang lain.
Seandainya suntikan dana atau perbelanjaan pengiklanan sektor kerajaan dapat segera disalurkan untuk membantu organisasi media yang tertekan akibat pandemik Covid-19 di negara ini, maka percayalah industri media akan berupaya memainkan peranannya sebagai penyebar maklumat dan jagawan estet keempat secara berkesan!
* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI)