DETIK bersejarah yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba apabila ibu kota Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 (KLBWC2020) pada 23 April lalu.
Pelancaran secara rasmi di pelantar media sosial akibat pandemik Covid-19, meskipun tidak segemilang acara besar-besaran seperti yang dirancang, tetap menjadi isyarat terbuka kepada seluruh warga bahawa pengisytiharan itu bukan sahaja sekadar gah di papan-papan iklan mega sebaliknya menonjolkan imej dan budaya masyarakat Malaysia sebagai bangsa pembaca.
Pemilihan Kuala Lumpur oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Warisan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) ini jika dihalusi dari sudut pandang normal baharu negara, menjadi wahana terbaik bagi masyarakat mengubah gaya hidup yang lebih mengakrabi buku sebagai rutin harian.
Ratusan aktiviti telah dirancang sepanjang KLBWC2020, namun persoalannya adakah bilangan aktiviti yang banyak dari segi pola angka mampu mengubah parameter pemikiran rakyat? Acuan akademia dalam jiwa masyarakat tidak mudah terbentuk begitu sahaja tanpa gemblengan tenaga dan kesediaan sosioemosi yang ampuh daripada kesemua pihak.
Dalam acara pembukaan, penyanyi Datuk Ramli Sarip telah menyanyikan lagu tema KLBWC berjudul Surat Cinta Kuala Lumpur yang menonjolkan nuansa Ibu Kota Buku Dunia dengan irama yang menghiburkan, bertenaga dan puitis. Tema ini dilihat oleh pengamat dan penggiat perbukuan sebagai aspirasi dan inspirasi yang cukup dekat untuk menyantuni masyarakat melalui aktiviti pembacaan.
Paradigma masyarakat tidak mudah diubah dalam sehari dua. Apatah lagi iklim pembacaan dalam kalangan masyarakat negara kita dalam tahun-tahun belakangan tidak berada pada tahap yang membanggakan berbanding negara-negara maju lain.
Menyedari hakikat ini, sebagai satu daya usaha untuk menyokong penobatan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020, pihak Persatuan Penyair Malaysia telah melancarkan Kempen Duduk di Rumah: Membaca dan Menulis.
Salah satu acara yang diadakan adalah dengan menganjurkan Program Resensi Buku Peringkat ASEAN yang telah diadakan bermula dari 25 Mac hingga 25 April 2020. Gagasan acara yang diadakan ini telah mendapat sambutan yang cukup baik dalam kalangan masyarakat ASEAN apabila pihak urus setia menerima sebanyak 3,500 penyertaan dan 4,600 resensi buku untuk dinilai. Jumlah penyertaan ini cukup memberangsangkan dan memberi petanda bahawa sosok masyarakat masih lagi boleh dilentur sebagai bangsa pembaca.
Ilmiah
Dalam konteks negara kita, budaya membaca dan membuat resensi buku secara ilmiah belum benar-benar diketahui ramai. Budaya kritikan sastera mungkin telah lama berakar umbi dalam masyarakat semenjak zaman sebelum merdeka, namun kritikan dan resensi memainkan konotasi dan fungsi yang agak berbeza meskipun masih mempunyai beberapa kemiripan.
Menurut Hashim Awang, di Malaysia, kritikan sastera sudah pun melalui tiga tahap perkembangan yang penting iaitu tahap sebelum Perang Dunia Kedua, tahap sebelum kemerdekaan dan tahap zaman kemerdekaan.
Berdasarkan takrifan yang diberikan oleh Hashim Awang, kritikan sastera merupakan suatu usaha mempertimbang dan menilai karya sastera secara jujur dan sistematik. Kritikan sastera merupakan apresiasi terhadap hasil genre kreatif seperti puisi, novel, cerpen dan drama.
Kritikan terhadap sesuatu karya kesusasteraan dilakukan secara internal dan eksternal. Kajian secara internal merujuk kepada aktiviti menganalisis teks dengan meneliti hal strukturnya, diksi, makna cerita, dan kemungkinan ketaksaan atau ambiguiti. Kritikan secara eksternal pula menekankan konteks atau dominasi kepada faktor di luar teks.
Oleh yang demikian, kritikan dihubungkaitkan dengan biodata pengarang sesuatu karya yang merangkumi pendidikan, profesion, ideologi, agama dan budaya serta pengaruh persekitaran. Kritikan sastera merupakan cabang ilmu yang mempunyai beberapa fungsi tertentu. Antara fungsi kritikan sastera adalah untuk menentukan sama ada sesebuah karya kesusasteraan itu bermutu atau sebaliknya.
Resensi pula berasal daripada bahasa Belanda iaitu ‘resentie‘ dan bahasa Latin ‘recensio’, ‘recensere’, ‘revidere’ yang bererti mengulas kembali atau melihat kembali.
Menurut Aina Prihantini S.Hum, resensi adalah penulisan berkaitan pandangan (peresensi) terhadap karya dengan tujuan mengulas, menilai, menganalisis, mengkritik, ataupun mengapresiasi sebuah buku secara keseluruhan. Seperti juga kritikan sastera, resensi tidak hanya berkutat pada buku. Resensi juga boleh diperluas dimensi menyasar karya lain seperti hasil kesenian, kesusasteraan, bahkan filem.
Realitinya, masyarakat masih belum diperkenalkan dengan tatacara membuat resensi yang sebenar. Rata-ratanya hanya sekadar membuat ringkasan cerita secara sinopsis berbanding cakupan resensi yang memerlukan pembacaan, penelitian, dan penerokaan yang lebih krtitis terhadap sesebuah buku. Pembacaan itu pula bukan sekadar mengakrabi himpunan kata secara tekstual tetapi mampu menyelami sedalamnya subteks dan kontekstual dalam sesebuah buku untuk dikongsikan kepada khalayak dan diapresiasi dalam kehidupan seharian.
Ironisnya, resensi buku mampu memainkan peranan yang besar sebagai ‘kapsul’ untuk memulihkan kembali kemuraman jagat perbukuan yang sedang bergulat dengan masalah kemelesetan sosioekonomi negara. Pengaruh dan wilayah kekuasaan penulis akan menjadi lebih besar apabila bukunya diresensi dengan baik oleh pembaca dan disebarkan di media sosial.
Publisiti dan promosi secara tidak langsung ini tidak memerlukan kos pemasaran sebaliknya memberikan dampak yang cukup luar biasa.
Bagi golongan pemula pula, berbanding membuat kritikan, resensi dilihat lebih memberikan ilmu kepengarangan yang positif sebagai asas untuk menulis. Kritikan mungkin akan lebih ‘menggerunkan’ untuk berkarya berbanding resensi yang lebih menonjolkan aura positif untuk dijadikan suri teladan pengkaryaan.
* Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung, Persatuan Penyair Malaysia