'Undi tak percaya PM janggal, tak kena masa'

Iklan
Razali Idris. (Laporan Sinar Harian 7 Mei lalu.)

KUALA TERENGGANU - Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikemukakan Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat sebagai janggal dan tidak kena pada masanya.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berkata, tindakan Ahli Parlimen Langkawi yang juga Pengerusi Bersatu terhadap Presiden parti berkenaan bukan sahaja tindakan luar biasa, tetapi dibuat pada ketika keadaan yang tidak sesuai.

Iklan
Iklan

"Saya fikir, ini bukanlah masa yang tepat untuk menjatuhkan sesiapa, tapi ia terpulang kepada Speaker Dewan Rakyat (Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof) untuk terima atau tidak.

"Tapi bagi seorang pengerusi yang mengetuai parti sama dan mengusulkan undi tak percaya kepada presiden, saya rasa ia tidak pernah berlaku dan agak pelik," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Iklan

Menurutnya, usul itu pula dibuat ketika negara dan dunia masih bercelaru dengan koronavirus (Covid-19).

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M usul undi tidak percaya PM?

Iklan

Speaker terima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin

"Saya tidak fikir rakyat akan menyokong usaha ini walaupun mungkin ada sebahagian ahli Parlimen pembangkang akan menyokongnya dan saya melihat tiada keperluan untuk bentangkan usul ini di Parlimen," katanya

Katanya, keutamaan ketika ini adalah menyelamatkan negara daripada Covid-19 dan kesan langsungnya terhadap ekonomi, keselamatan dan kesihatan rakyat.

"Kita boleh lihat sebahagian besar rakyat dapat menerima pemerintahan Perdana Menteri ketika ini yang begitu cekap dalam menguruskan Covid-19 dan negara.

"Kita tak nampak ada rakyat yang memberontak dengan apa yang dilakukan Perdana Menteri. Jadi, apa perlunya usul sebegini dibuat pada masa sekarang?" katanya.

Dalam pada itu, Razali turut mengakui Bersatu kini berpecah dua dan hanya pemilihan parti yang akan dibuat tidak lama lagi jadi penentu.

"Kita tak boleh menafikannya, tapi sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk bincang usul sebegitu, nak jatuhkan orang.

"Cuma kita minta ahli di bawah tidak terkesan dengan apa yang dilakukan Dr Mahathir, sebab kita nampak ia terlalu peribadi," katanya.