Pengguna mungkin tangguh beli barang bukan keperluan utama

Iklan

KUALA LUMPUR - Malaysia mungkin menyaksikan trend normal baharu pada masa depan di mana pengguna menolak atau menangguhkan pembelian barangan mewah atau barangan dan perkhidmatan yang dikategorikan sebagai bukan keperluan utama.

Pengurus Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Lau Zheng Zhou berkata, rasa bimbang itu perlu ditangani kerana membabitkan pandemik dan keselamatan pekerjaan yang merupakan faktor penting untuk mendorong kejayaan pelan pemulihan ekonomi.

Iklan
Iklan

"Pemulihan ekonomi kita juga turut bergantung kepada pemulihan ekonomi global. Negara-negara maju ketinggalan dari segi pemulihan pandemik ini. Kerajaan perlu memberi keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat bahawa mereka mampu memerangi risiko kepada kesihatan dan ekonomi.

"Sekiranya kita mengambil iktibar daripada krisis terdahulu misalnya krisis kewangan Asia, negara-negara membangun termasuk Malaysia bergantung kepada eksport untuk pulih. Keadaan itu mungkin tidak berlaku hari ini. Namun di peringkat tempatan rasa bimbang itu kekal sebagai halangan utama kepada pemulihan ini,” katanya ketika ditemubual di siaran berita Bernama TV hari ini.

Iklan

Menurutnya, penggunaan swasta menyumbang hampir 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan perniagaan bergantung kepada unjuran ini untuk merancang pelaburan dan penggunaan pada masa depan.

Mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), beliau berpendapat pelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu adalah sesuatu yang tidak dijangka kerana Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini memberi bayangan bahawa tempoh PKP adalah berpanjangan.

Iklan

"Bagaimanapun, dalam tempoh beberapa hari, pengumuman mengenai PKPB telah dibuat. Jadi, apa yang kita fikirkan sekarang adalah sama ada pelaksanaan PKPB ini dibuat terlalu awal. Apa yang mahu kita elakkan adalah untuk mempunyai ekonomi atau perniagaan yang ditutup, dibuka.

"Apakah yang berlaku sekiranya kita mempunyai kes baharu (Covid-19) yang lebih buruk dan mungkin memerlukan sekatan keluar masuk yang disasarkan. Kita tidak boleh mengalami keadaan seumpama itu kerana sukar bagi perniagaan untuk membuat perancangan masa depan kerana kita dalam minat risiko dan enggan mengambil risiko,” katanya.

Oleh itu, beliau menyarankan kerjasama yang lebih erat dalam kalangan kerajaan Persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan.

"Apa yang kita perlukan adalah kepintaran tempatan. Kerajaan tempatan dapat mengesan kes kluster lebih awal dan mereka boleh menjalin kerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk memantau operasi sanitasi awam dan sama ada perniagaan mematuhi prosedur operasi standard,” katanya. - Bernama