BERUAS - Seramai 27 penduduk di Taman Anggerik di sini terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Beruas berikutan banjir kilat melanda kawasan itu, malam tadi.
Kesemua mangsa membabitkan lima keluarga itu dipindahkan selepas hujan lebat sejak lewat petang semalam yang mengakibatkan kediaman mereka dinaiki air.
Iklan
Iklan
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, panggilan berhubung kejadian banjir diterima pada jam 10.15 malam.
"Sebaik PPS dibuka, semua mangsa bergerak keluar dari kediaman dengan kenderaan sendiri.
"Anggota terlibat telah melakukan pemantauan bagi memastikan proses pemindahan berjalan lancar," katanya.
Menurutnya, pemantauan berkala dilakukan pada jam 12.30 malam tadi mendapati, keadaan air semakin surut, hujan lebat juga telah berhenti.
"Selain bomba, operasi turut dibantu polis dan Jabatan Sukarelawan (Rela)," katanya.