KUALA LUMPUR - Apabila Malaysia mula bergelut dengan koronavirus (Covid-19) sejak awal tahun ini dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seterusnya dalam mengawal pandemik itu, ramai ibu yang bekerja menyaksikan perubahan drastik dalam rutin harian mereka.
Sempena dengan Hari Ibu, salam dan pujian ditujukan kepada para ibu terutama yang terlibat di barisan hadapan dalam memerangi ancaman Covid-19.
Pengorbanan mereka sungguh tidak terkira, memandangkan mereka sanggup bekerja tanpa mengira siang dan malam di hospital dan titikpanas jangkitan, berjauhan daripada ahli keluarga yang tersayang dan meletakkan diri mereka sendiri dalam risiko dijangkiti virus itu.
Bagi Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (Kanan) Nordayana Musa, 40, tugasan beliau tatkala negara dilanda pandemik Covid-19 pastinya jauh berbeza daripada sebelum ini apabila beliau diperlukan untuk bekerja 12 jam setiap hari tanpa mengira waktu selain mengorbankan cuti hujung minggu.
Beliau, yang bertugas di Unit Inspektorat dan Perundangan di Pejabat Kesihatan Titiwangsa di sini, bagaimanapun berkata, putus asa tidak pernah tertulis dalam kamus hidupnya memandangkan ia pengalaman berharga bersama rakan sejawatan dalam membantu negara menangani wabak ini.
"Semasa wabak Covid-19, masa bersama keluarga agak terhad kerana bekerja tanpa mengira waktu. Alhamdulillah suami saya sedikit sebanyak membantu dalam meringankan tugasan rumah.
"Sebagai seorang ibu dan dalam masa yang sama seorang frontliner, dengan waktu yang terhad ini saya akan pastikan setiap hari akan berbual bersama keluarga dan memastikan anak menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru kelas mereka sepanjang tempoh PKP,” kata ibu kepada dua anak itu kepada Bernama.
Ditanya mengenai perancangan sambutan Hari Ibu, Nordayana berkata, sambutan yang sebelum ini diraikan dengan makan di luar bersama keluarga mungkin tidak dapat dibuat untuk tahun ini kerana masih belum ada perancangan.
Namun sekiranya diberi peluang, wanita kelahiran Parit Buntar, Perak, itu hanya mahu menghabiskan masa bersama keluarga dan menyambut secara sederhana sebagai tanda memperingati tanggal itu.
Anggota polis Zawiyah Zakaria, 41, memberitahu Bernama beliau masih belum ada kesempatan untuk bersantai bersama anak, terutamanya ketika ditugaskan sebagai penyelia di kawasan Masjid India yang pernah diisytiharkan sebagai PKP Diperketatkan (PKPD).
Beliau, yang mempunyai lima orang anak berumur antara tiga hingga 17 tahun berkata sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lepas masih belum ada hari pelepasan buatnya menyebabkan beliau hanya sempat bersama dengan anak dalam masa dua atau tiga jam sahaja sehari.
"Anak memanglah merungut sebab kita tidak selalu ada. Semua sekarang bergantung kepada kakak (anak sulung), sebab saya kadang-kadang balik lambat atau tidak balik langsung. Mujur anak bongsu saya sudah terbiasa dengan kakak-kakaknya,” katanya yang bertugas di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Telah berkhidmat hampir 23 tahun sebagai anggota Polis Diraja Malaysia, Zawiyah menyifatkan pengalaman bertugas dalam tempoh pandemik ini sangat mencabar dari segi mental dan emosi.
Oleh itu, beliau berharap kepada pengakhiran wabak Covid-19 ini dan PKP dapat ditamatkan dengan jayanya supaya setiap keluarga dapat menikmati masa bersama.
"Sebab itu, saya memang sanjung kepada ibu-ibu barisan hadapan yang bijak bahagi masa demi tanggungjawab terhadap negara. Kerja kami memang berisiko tinggi, dan terdedah kepada bahaya. Jadi kalau kami balik rumah, macam mana dengan anak nanti?” katanya dalam nada sebak.
Sementara itu, jururawat di bahagian Kecemasan dan Trauma Hospital Sungai Buloh, Anis Sabrina Shaharim, 29, berkata dengan keadaan semasa pandemik Covid-19 ini masa bersama keluarga sangat terhad kerana lebih banyak masa dihabiskan di tempat kerja.
Bagaimanapun, ibu kepada dua anak itu sentiasa bersyukur kerana masih pulang dengan disambut anak dan suami di rumah berbanding dengan mereka yang terpaksa tinggal berjauhan dari keluarga ketika tempoh sukar ini.
"Tapi kadang-kadang sedih kalau anak atau anggota keluarga kami kurang sihat sebab kami bukan boleh suka-suka ambil cuti untuk jaga mereka, jadi kena kuatkan hati fikir baik-baik dan urus sendiri. Kami kena berkorban demi menjaga pesakit yang memerlukan kami juga,” katanya.
Menceritakan tentang suasana di tempat kerjanya sekarang, beliau berkata keadaan telah banyak berubah sejak hospital itu ditukar menjadi tempat rawatan khusus untuk kawalan penyakit berjangkit.
Tambahnya, cabaran kerja juga semakin bertambah apabila mereka terpaksa akur menghadap pesakit yang belum pasti keputusan saringan, sekaligus memerlukan pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap sepanjang masa.
"Untuk pulang ke rumah pun kena jaga kebersihan diri betul-betul sebelum jumpa keluarga. Kadang-kadang jadi tidak yakin dengan diri sendiri sebab virus dan kuman kita tidak nampak. Saya hanya berserah dan tawakkal kepada Allah sahaja dan supaya virus ini lenyap daripada muka bumi.”-Bernama