Ubah persepsi rakyat Malaysia memilih kerja

Iklan
Abdul Halim Mansor

KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mungkin merupakan entiti yang paling lantang dalam membela nasib pekerja swasta di negara ini. Suaranya didengari, tindakannya kadangkala digeruni.

Antara isu yang pernah diperjuangkan MTUC ialah kadar gaji minimum RM1,200 dan had usia persaraan sehingga 60 tahun.

Iklan
Iklan

Dalam wawancara bersama wartawan Sinar Ahad, MOHD AZLIM ZAINURY, Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor mengakui wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan memberi kesan yang besar kepada golongan pekerja.

Beliau turut mengulas mengenai kehadiran pekerja asing di negara ini yang dikatakan menutup rezeki penduduk tempatan selain menolak persepsi kononnya rakyat Malaysia malas dan memilih kerja.

Iklan

SINAR AHAD: Apakah situasi terkini nasib pekerja di negara ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu?

ABDUL HALIM: Bencana Covid-19 menyebabkan kita terlalu banyak memikirkan ancaman virus tersebut yang pada awalnya kita sendiri tidak dapat memahaminya.

Iklan

Covid-19 juga mempengaruhi suasana politik dan ekonomi. Pada peringkat awal, MTUC lihat kerajaan seolah-olah mengambil mudah mengenai cara untuk menangani wabak tersebut.

Itu situasi semasa Covid-19 belum mempunyai nama dan masih dipanggil koronavirus sahaja.

Kita memandang mudah sebab kita fikir kita ada pengalaman dalam mengendalikan virus-virus terdahulu seperti H1N1, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan lain-lain.

Sebab itulah kerajaan dan rakyat menganggap ia satu pandemik yang sama sahaja dan boleh diatasi menggunakan pengetahuan serta pengalaman yang ada.

Bagaimana dengan nasib pekerja di Malaysia khususnya selepas negara melaksanakan PKP?

PKP adalah satu langkah drastik. Penularan wabak memaksa kerajaan menguatkuasakan PKP pada 18 Mac lalu. Bagaimanapun, MTUC berpandangan tindakan kerajaan itu dibuat secara bersendirian. Kerajaan terlupa bahawa ekonomi dan industri negara mempunyai badan-badan sosial yang berkait antara satu sama lain. Bagi MTUC, dalam menentukan pembangunan ekonomi, apa sahaja tindakan baharu yang hendak dilaksanakan perlulah dibincangkan antara ketiga-tiga badan sosial iaitu kerajaan, majikan dan pekerja.

Namun, apa yang berlaku pada 18 Mac lalu ialah ramai pekerja serba salah untuk keluar bekerja. Ini kerana PKP adalah arahan yang sah mengikut akta. Dalam masa yang sama, pihak syarikat atau majikan pula merasakan pekerjaan dan pengeluaran produk yang berdasarkan permintaan pasaran mestilah diteruskan.

Abdul Halim mengakui wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan memberi kesan yang besar kepada golongan pekerja.

Jadi ketiga-tiga pihak ini penting sebenarnya. Pekerja hendak bekerja tetapi takutkan wabak, majikan menganggap ekonomi dan perniagaan mereka penting manakala kerajaan harus memastikan rakyatnya selamat daripada wabak.

Semua tanggapan ini betul tetapi sepatutnya setelah PKP dilaksanakan, pihak kerajaan harus sentiasa mengadakan perbincangan atau perjumpaan dengan badan-badan sosial demi mengetahui situasi sebenar.

Ini kerana ada industri yang sepatutnya beroperasi 24 jam sehari tetapi tiba-tiba terpaksa dihentikan operasi. Berikutan itu, pelbagai kesan terpaksa ditanggung banyak pihak khususnya pekerja dan majikan. Malah, kerajaan sendiri terpaksa mengeluarkan peruntukan yang besar bagi menstabilkan ekonomi negara.

Apakah peranan MTUC dalam membantu pekerja di negara ini ketika wabak Covid-19?

Mula-mula sekali, peranan MTUC adalah untuk memastikan majikan tidak mengambil tindakan bersendirian. Kita lihat apabila PKP diumumkan berkuat kuasa pada 18 Mac, beberapa industri terpilih dibenarkan untuk terus beroperasi tetapi tidak menyeluruh.

Contohnya, kalau syarikat roti Gardenia dibenarkan membuat roti, mereka pasti memerlukan pembungkus plastik, maka kilang plastik pun kena dibuka. Apabila kilang plastik dibuka, ia memerlukan pencetak yang menggunakan dakwat, jadi kilang buat dakwat pun sepatutnya dibuka.

Oleh sebab itu, MTUC telah mencadangkan kepada Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) serta persatuan-persatuan majikan dan persatuan-persatuan pembuatan agar mengadakan satu perbincangan bagi membentuk satu cadangan dan mencari kaedah alternatif yang membolehkan kita meneruskan pekerjaan dalam bidang pembuatan dengan syarat-syarat dan garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Namun, apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin 2020 (Prihatin), kita lihat majikan berubah fokus kerana mereka boleh memohon subsidi upah sehingga 80 peratus gaji pekerja itu dibayar dan ditanggung oleh kerajaan.

Apakah bantuan yang diberikan oleh kerajaan menerusi Pakej Prihatin mampu membantu golongan pekerja yang terjejas disebabkan PKP?

Pada pendapat saya, tindakan yang dilaksanakan kerajaan berjaya. Ia satu tindakan positif walaupun ada kekurangan tertentu yang masih boleh dibincangkan selepas PKP berakhir.

Kita mesti faham bahawa tindakan kerajaan itu adalah bagi memastikan sektor-sektor kecil dapat dijalankan.

Tindakan-tindakan kerajaan dari mula sampai sekarang yang meletakkan rakyat sebagai keutamaan tidak boleh dinafikan. Itu baik. Kita juga telah lihat dalam konteks perkembangan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, Malaysia berjaya menerapkan sikap berdisiplin yang tinggi serta disokong oleh semua rakyat.

Perkara ini dijayakan menerusi pelbagai kempen sehingga ada pihak mengatakan Malaysia tidak ada perkara lain hendak dibicarakan kecuali hal keselamatan dan kesihatan rakyatnya. Ini perkara yang sangat baik.

Apakah cadangan MTUC mengenai perkara-perkara yang perlu dilaksanakan kerajaan selepas fasa kawalan pergerakan ini berakhir?

PKP ada dua peringkat. Pertama, peringkat pelaksanaan PKP dan kedua peringkat selepas PKP. Strategi selepas PKP tentunya adalah untuk memastikan kita boleh meletakkan kembali ekonomi ke landasan yang betul.

Tindakan yang wajar diambil ialah pertama, memastikan rakyat dan tenaga kerja Malaysia terus bekerja.

Kerajaan boleh melaksanakan program lapangan tenaga kerja negara iaitu semua pelajar sekolah yang telah habis belajar mesti dimasukkan ke dalam lapangan menerusi pertukaran daftar daripada Kementerian Pendidikan kepada Kementerian Sumber Manusia.

Mereka juga mesti dibenarkan untuk dihantar bekerja di mana-mana ruang kerja di negara ini selama setahun dengan gaji minimum. Selepas setahun, mereka akan mendapat satu testimoni sebagai ‘sijil’ yang menyokong bahawa mereka adalah pekerja terlatih.

Selain itu, dalam menentukan profesion pula, kerajaan harus mewujudkan profesion baharu yang diperlukan negara. Rakyat tempatan juga mungkin boleh mengisi pekerjaan seperti pengawal keselamatan dan pembantu rumah yang sekarang didominasi pekerja asing, begitu juga profesion bekerja dari rumah.

Pada masa akan datang, bekerja dari rumah tidak perlu lagi menunggu waktu seperti ketika PKP atau PKPB. Sebaliknya, ia boleh menjadi profesion atau tenaga kerja yang sah dan dilindungi oleh undang-undang sedia ada.

Dalam pada itu, MTUC turut meminta kerajaan menerapkan perkara berkaitan penyelidikan dan pembangunan serta perlindungan. Majikan juga disaran menyediakan caruman yang lebih tinggi kepada pekerja sebagai persediaan sekiranya berlaku bencana pada masa hadapan.

Mengenai tindakan kerajaan untuk mengurangkan pekerja asing, adakah rakyat Malaysia sudah bersedia mengisi kekosongan terutama dalam sektor 3D iaitu sukar, bahaya dan kotor?

Untuk pengetahuan, rakyat Malaysia melakukan sesuatu pekerjaan bukan disebabkan sektor yang diceburi tetapi tanggungjawab untuk mencari nafkah.

Sejak tahun 1970-an lagi kita telah mulakan pekerjaan industri di Malaysia. Hasilnya, semua pekerja itu dapat didisiplinkan untuk membuat semua kerja.

Namun, apabila kita cuba mengkategorikan mereka (mengikut sektor-sektor tertentu) kita seolah-olah cuba mengikut negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Rakyat di negara berkenaan tidak bekerja dalam bidang 3D kerana kelulusan mereka terlalu tinggi. Tahap kelulusan mereka yang paling rendah rata-ratanya lulus universiti, jadi mereka tidak akan bekerja dalam bidang 3D.

Kesanggupan rakyat Malaysia bekerja dalam bidang 3D seperti pekerja pembersihan menjadi bukti mereka tidak memilih pekerjaan.

Berbeza dengan Malaysia, kelayakan pendidikan paling rendah adalah pada peringkat tamat sekolah menengah. Malah, ada yang tiada sebarang kelulusan akademik.

Tahap pendidikan kita juga mempunyai pelbagai peringkat, bermula daripada peringkat kemahiran sehinggalah ke peringkat universiti. Di peringkat universiti pula masih terdapat bidang-bidang pengajian yang tidak dapat memenuhi syarat-syarat tertentu yang dikehendaki dalam sektor pekerjaan.

Malah, ada juga pakar ekonomi yang mengatakan kononnya pekerja di Malaysia takut untuk bekerja di bangunan tinggi namun faktor sebenarnya ialah semua pekerja yang mahu masuk ke sektor pembinaan perlu mendapat sijil daripada CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan).

Selain memiliki sijil-sijil tertentu, pekerja Malaysia juga perlu mendapatkan rekomendasi daripada pihak-pihak berkaitan untuk mula bekerja dalam sektor pembinaan. Jika tiada rekomendasi atau sokongan, mereka tidak akan diambil bekerja.

Pekerja Malaysia juga hanya bekerja lapan jam sehari. Apabila bekerja lebih daripada tempoh lapan jam, ia akan dianggap bekerja lebih masa, jadi mereka perlu dibayar. Keadaannya berbeza bagi pekerja asing kerana mereka bekerja 16 jam sehari dengan sekali bayaran sahaja.

Saya ingin tegaskan semula: adakah kehadiran pekerja asing dalam sektor 3D di negara ini disebabkan keperluan atau keuntungan? Tadi saya telah katakan bahawa pekerja Malaysia mempunyai disiplin yang baik dan mereka mampu buat semua kerja.

Hakikatnya di Malaysia, tiada pekerjaan berkonsepkan 3D. Orang Malaysia tidak memilih pekerjaan. Lihatlah pemungut sampah pun orang kita. Kalau kita lihat di Pasar Borong Selayang sekarang, mereka perlukan orang kita dengan gaji RM70 hingga RM100 sehari.

Kalau bekerja dianggap satu keperluan (untuk hidup), tidak ada orang di Malaysia yang menidakkan peluang pekerjaan tersebut. Kita harus melatih rakyat kita dengan cara kita, budaya kita bekerja adalah menentukan keselamatan, kesihatan dan keselesaan atau 3K.

Sepatutnya istilah 3D itu ditukarkan kepada 3K agar kita dapat mengajar satu budaya baharu kerana 3D ini budaya luar.

Walaupun saya sebagai Presiden MTUC, saya bekerja pada awal 1970-an, 1980-an, saya sendiri tidak biasa dengan istilah 3D. Sebaliknya apa saja bidang pekerjaan, kita diajar agar mementingkan keselamatan, kesihatan dan keselesaan. Ini perjuangan yang harus diterapkan oleh negara.

Saya rasa apabila kita bercerita tentang 3D, kita harus memikirkan bagaimana kita hendak membayar gaji kepada orang yang bekerja dalam sektor 3D? Kalau di China, gaji mereka lebih besar kerana pekerjaan yang dilakukan itu memang tidak ada orang lain sanggup buat.

Justeru, saya berharap dakwaan tenaga kerja Malaysia sentiasa memilih pekerjaan haruslah ditamatkan.

Profil

Datuk Abdul Halim Mansor

Umur: 60 tahun (1960)

Asal: Serkam Pulai, Melaka

Isteri: Datin Rokiah Said dan Datin Hatini Hanafi

Anak: Empat lelaki, satu perempuan

Hobi: Mengumpul kereta antik jenama BMW