PUCHONG - Lima unit gerai yang dibina di atas rezab Jalan Kinrara 2, Bandar Kinrara di sini dirobohkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam satu Operasi Peruntuhan semalam.
Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, tindakan diambil selepas pemilik gerai tidak mempedulikan Notis Pemberitahuan Bangunan (NPB) yang dikeluarkan Jabatan Bangunan MPSJ sebelum ini.
Menurutnya, menerusi notis itu, kesemua pemilik gerai dan bangunan tanpa izin diarahkan meruntuhkan bangunan terbabit dalam tempoh tujuh hari.
"Jabatan Bangunan MPSJ kemudian mengeluarkan Notis Mengosongkan Dan Meruntuhkan Bangunan (NMMB) di bawah peruntukan Seksyen 72(6), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 apabila mendapati notis awal tidak diendahkan pemilik.
"Pemilik diberi tempoh 30 hari untuk mengosongkan bangunan dan meruntuhkan sendiri bangunan tersebut namun didapati tiada juga tindakan daripada pemilik gerai,” katanya menerusi satu kenyataan kepada Sinar Harian.
Azfarizal berkata, pihak MPSJ mengambil tindakan meruntuhkan bangunan tersebut di bawah Seksyen 70, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dengan kos ditanggung oleh pemilik premis.
"Terdapat struktur haram dan binaan tanpa izin didirikan di atas rezab jalan, malah mereka tidak mempunyai lesen perniagaan dan kita menerima aduan daripada orang awam.
"Operasi ini juga dilaksanakan berdasarkan visi dan misi MPSJ ke arah bandar raya bertaraf antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan tersebut dilaksanakan secara bersepadu bersama beberapa jabatan dalaman MPSJ termasuk Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Pengurusan Alam Sekitar dan diketuai Jabatan Bangunan.
"Diharap melalui operasi ini, pemilik perniagaan akan lebih peka dan bertanggungjawab dalam menjalankan perniagaan dan tidak melanggar peraturan ditetapkan MPSJ.
"Pihak MPSJ turut menggesa orang awam supaya menggunakan saluran yang betul untuk mengemukakan sebarang bantahan serta tidak menghalang sebarang tugasan yang dilaksanakan anggota MPSJ di lapangan,” katanya.