SHAH ALAM - Seorang wanita memberitahu dirinya pulih daripada serangan strok (angin ahmar) selepas membaca al-Quran setiap hari.
Nora Aziz berkata demikian ketika menjawab pertanyaan di Twitter rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sempena Nuzul Quran hari ini.
Status itu mengenai bagaimana al-Quran mengubah kehidupan selain berkongsi sebab mencintai al-Quran sebagai motivasi kepada netizen lain.
"Empat tahun lepas saya mengalami lidah kaku akibat strok sehingga bila bercakap, orang tak faham.
"Lalu saya cuba baca al-Quran setiap hari dan berdoa. Alhamdulillah penyakit saya telah sembuh sepenuhnya dengan izin ALLAH SWT," ciapnya.
Dia turut mengakui kehidupannya kini berubah setelah mengamalkan membaca al-Quran setiap hari dan perkongsiannya menerima reaksi positif daripada pengguna Twitter.
Berkongsi pengalaman, Tya Razali berkata, bulan Ramadan memberi ruang dirinya memperbaiki bacaan al-Quran.
"Dulu ada belajar tajwid, tapi bila sibuk dengan macam-macam hal sampai lupa tajwid semua, Alhamdulillah Ramadan ni saya sudah mula belajar balik.
"Banyak benda rupanya kita tak tahu. Terutama untuk pelajar macam saya, banyak hikmah istiqamah belajar al-Quran," katanya.
Kata NurTasnim pula,"Setiap kali berputus asa dalam menuntut ilmu, kerja atau perkara-perkara lain, bila baca ayat surah Al-Insyirah ayat 5 dan 6 terasa terangkat segala beban hati. Ayat buat memujuk dan menguatkan hati."
Safiah Rahim pula berkata, rezekinya menjadi luas apabila mendekatkan diri dengan kitab suci ini.
"Bila baca al-Quran, rezeki tak pernah putus. Banyak sangat rezeki yang datang daripada sumber yang tidak disangka-sangka, yang sukar, semuanya menjadi mudah. Alhamdulillah," katanya.
Sementara itu bagi Hauraaddin, al-Quran disifatkan sebagai penyeri hidupnya dan teman baik selepas terselamat dari kemalangan jalan raya.
"Masa tu gagap lagi baca Quran tapi tak pernah putus asa, sekurangnya sehari kena baca sebab nak betulkan tajwid.
"Ada perlekeh sebab saya sekolah agama tapi mengaji gagap, hinggalah saya ditakdirkan terlibat dalam kemalangan, motosikal hancur tapi saya selamat. Sejak itu, al-Quran adalah teman baik. Kalau sehari tak baca, tak boleh tidur," katanya.