JOHOR BAHRU - Pelakon dan penyampai radio, Patrick Teoh direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung memuat naik kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman sosial Facebook Khamis lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Patrick, 73, ditahan reman bermula hari ini hingga 12 Mei untuk disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan dan Multimedia 1998.
Menurutnya, penahanan terhadapnya dilakukan selepas polis menerima laporan pada 8 Mei daripada orang awam ekoran kenyataan di Facebook milik Patrick Teoh yang bertujuan menghina dan menyakitkan hati terhadap TMJ dan institusi diraja Johor.
"Susulan laporan itu, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membuat tangkapan terhadap suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor semalam.
"Suspek seorang pelakon dan penyampai radio. Kita juga merampas seunit komputer riba miliknya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, peguam Patrick, Datuk Seri Rajan Navaratham mengesahkan anak guamnya ditahan ketika hadir memberi kenyataan di IPD Petaling Jaya.
Menurut peguamnya itu, Patrick didakwa memainkan semula video yang disiarkan Tunku Ismail tahun lalu yang menunjukkan TMJ dan individu lain berpakaian tentera yang mengendalikan senjata.
Patrick dipercayai berkongsi video berkenaan pada Khamis lalu (7 Mei) dan menggunakan kata-kata tidak senonoh ketika dia mengulas di laman sosial Facebook peribadinya.