Lelaki mati dipukul kerana dituduh curi RM70

Iklan
Mayat tanpa identiti yang ditemui di sebuah rumah kosong di Jalan Pintu Pong di sini semalam dibawa ke Hospital Raja Perempuan II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

KOTA BHARU - Polis mengesahkan kematian seorang lelaki yang ditemui di sebuah rumah kosong di Jalan Pintu Pong di sini semalam berpunca akibat dipukul kerana dituduh mencuri wang RM70.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, mangsa dipercayai dipukul oleh lebih daripada seorang suspek.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil siasatan setakat ini mendapati mangsa yang berusia lingkungan 20-30an itu dikatakan mencuri wang milik seorang suspek berusia 40 tahun.

"Mangsa dituduh mencuri sejumlah wang lebih kurang RM70 namun nilaian sebenar tidak dapat dipastikan.

Iklan

"Mangsa dipercayai dipukul hingga mendapat kecederaan pada bahagian kepala, bawah mata dan rusuk kiri tetapi tidak ada senjata yang temui di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, susulan itu dua suspek termasuk lelaki berusia 40 tahun terbabit ditahan bagi membantu siasatan dan mengenalpasti identiti mangsa.

Iklan

"Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari berkuat kuasa hari ini sehingga 16 Mei ini.

"Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Semalam Sinar Harian melaporkan satu mayat tanpa identiti ditemui di sebuah rumah kosong juga tempat tinggal gelandangan di Jalan Pintu Pong di sini pada jam 12.30 tengah hari.

Turut ditemui adalah kesan darah di lantai dan dinding ruang tamu rumah serta berkemungkinan mangsa terbabit dalam kes pergaduhan.