‘YB fahamlah kami tak ada internet’

Iklan
Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menggesa Kementerian Pendidikan prihatin terhadap isu pendidikan yang membelenggu golongan berpendapatan rendah (B40) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan.

Beliau berkata, kementerian menerusi menteri dan timbalan menterinya perlu bertanggungjawab berhubung perkara itu dan segera menyelesaikan isu e-learning.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau banyak menerima keluhan daripada golongan B40 yang mendakwa mereka tidak dapat memenuhi permintaan guru kerana kekurangan kemudahan untuk akses kepada pembelajaran secara e-learning.

"Sepanjang PKP ini dilaksana, saya sering cari peluang untuk ziarah keluarga-keluarga di Lembah Pantai. Bukan sahaja untuk menyampaikan bantuan tetapi juga untuk bertanya khabar dan mengenali warga secara lebih dekat.

Iklan

"Selain isu pekerjaan dan pendapatan, saya juga amat prihatin isu pendidikan. Seperti semua sedia maklum, sejak PKP dilaksana bermula 18 Mac lalu semua sekolah rendah, menengah malah institut pengajian tinggi (IPT) juga ditutup,” katanya.

Beliau berkata, apa yang menyedihkan, kebanyakan keluarga yang dikunjunginya mengadu kekurangan kemudahan yang mengekang anak mereka untuk mendapatkan pelajaran secara dalam talian.

Iklan

"YB (Yang Berhormat) faham lah, kami tak ada internet. Telefon bimbit pun satu sahaja. Printer (pencetak) tak ada. Macam mana anak nak buat apa yang cikgu minta antara keluhan yang diterima saya ketika mengunjungi keluarga-keluarga ini.

"Memang, sebelum ini ada diumumkan kad sim percuma untuk golongan B40, tetapi saya lihat ramai yang tak tahu macam mana nak mohon. Tak sampai maklumat kepada mereka,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, hingga ke hari ini, agak sukar untuk dibayangkan bilik-bilik darjah penuh dengan murid dan dewan-dewan kuliah berisi padat dengan mahasiswa.

Katanya, jawapan kerajaan kepada masalah pendidikan dalam era kebiasaan baharu ini ialah e-pendidikan (e-learning) atau e-kuliah.

"Tetapi di sini kesenjangan akses buat kumpulan B40 cukup menghimpit. Rata-rata keluarga yang punya anak sepatutnya bersekolah mengeluh.

"Kerajaan hari ini ada seorang Menteri Kanan Pendidikan dan dua (ya, dua) Timbalan Menteri Pendidikan. Kementerian Pendidikan pula antara kementerian yang paling besar bajet tahunannya. Bagi saya, isu e-learning ini wajib diselesaikan segera. Bukan tunggu satu setengah bulan dan jawab ‘Tonton Okey TV sahaja, ini bukan pendidikan namanya,” katanya.