Rumah dinaiki air ketika sedang berbuka

Iklan
Keadaan banjir yang melanda Kampung Tersusun dan Taman Anggerik, Beruas malam tadi.

BERUAS -"Tak sempat habis jamah nasi berbuka, rumah dah dimasuki air," kata mangsa banjir, Sofiyatul Akma Abdul Rahim, 34.

Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 7.30 malam, kira-kira 10 minit selepas waktu berbuka puasa menyebabkan beliau sekeluarga tanpa berfikir panjang mengemas barang-barang penting sebelum berpindah ke tempat lebih selamat.

Iklan
Iklan

Sofiyatul Akma merupakan antara 34 mangsa banjir melibatkan sembilan keluarga dari Kampung Tersusun dan Taman Anggerik, di sini yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Beruas akibat banjir kilat, semalam.

"Saya sudah rasa tidak sedap hati, tak sangka paras air naik cepat dan melimpah masuk ke kediaman penduduk sehingga cecah 1 kaki (0.3 meter).

Iklan

"Saya baru saja berbuka puasa, malah nasi juga belum sempat habis dimakan," katanya.

Terdahulu, beliau memberitahu, hujan agak lebat dan berlarutan sejak jam 3.30 petang lagi.

Iklan

Bimbang kejadian banjir lebih buruk katanya, beliau sekeluarga segera berpindah ke pusat pemindahan yang dibuka sekitar jam 10 malam.

"Kami dapat makan semula pada jam 11 malam tadi, ini merupakan kejadian kedua berlaku pada Ramadan selepas dua tahun lalu," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Manjung, Zulhisham Ahmad Shukori berkata, semua mangsa dibenarkan pulang pagi tadi selepas banjir surut sepenuhnya.

"Pemantauan dibuat mendapati, kediaman terlibat selamat untuk diduduki. PPS di SK Beruas sudah ditutup secara rasmi pada jam 10 pagi tadi," katanya.