PKP: Felda teruskan operasi seperti biasa, ikut pematuhan SOP

Iklan
Dr Othman Omar (dua, kiri) menyampaikan kit makanan kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali. -Foto Bernama

ALOR GAJAH - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan memulakan segala operasi di kebun dan ladang seperti biasa selepas ini namun akan mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan dan kesihatan peneroka serta petugas Felda.

Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Omar berkata, terdapat penurunan pengeluaran hasil ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun pihaknya berharap tidak banyak hasil yang terjejas dalam tempoh itu.

Iklan
Iklan

Katanya, ia berikutan kerja-kerja kritikal di kebun dan ladang seperti penuaian masih dijalankan manakala penanaman dan pembajaan tidak dilakukan sepanjang tempoh itu.

"Bagaimanapun, kesihatan dan keselamatan adalah paling mustahak untuk semua peneroka dan petugas Felda dengan had-had kerja tertentu mengikut SOP semasa PKP serta PKPB dan diteruskan selepas ini.

Iklan

"Selain itu, pelbagai inisiatif diambil oleh Felda untuk membantu peneroka yang terjejas ketika tempoh berkenaan antaranya menangguhkan potongan pendapatan bagi semua jenis pinjaman kebun dan sosioekonomi untuk tempoh tiga bulan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan dan Bantuan Makanan kepada mangsa ribut yang terjejas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap di Felda Tun Ghaffar Hutan Percha, di sini hari ini.

Terdahulu, Othman turut mengiringi Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan dan menziarah peneroka asal di Felda Tun Ghaffar di sini, hari ini.

Iklan

Othman berkata, penangguhan pemotongan pendapatan itu dilihat menjejaskan aliran kewangan iaitu sebanyak RM145 juta namun ia memberi manfaat kepada peneroka sebagai usaha meringankan beban kehidupan peneroka yang terjejas.

Tambahnya, Felda juga menyumbang bantuan makanan asas bernilai RM5.6 juta kepada 112,638 peneroka iaitu pek bantuan bernilai RM50 setiap satu merangkumi keperluan asas.

Terdahulu, seramai 26 penerima yang terjejas akibat ribut diberi sumbangan wang tunai sebanyak RM750 daripada kerajaan negeri.-Bernama