GEORGETOWN - Satu sindiket yang menggunakan peket serbuk minuman berperisa bagi menyorok pelbagai jenis dadah untuk diedarkan di sini berjaya ditumpaskan polis dalam satu operasi yang berakhir semalam.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Roslee Chik berkata, kegiatan itu terbongkar berikutan penangkapan tiga lelaki berumur antara 30 dan 31 tahun serta dalam operasi Rabu dan Khamis lalu
"Operasi dilakukan di kawasan Air Itam serta Taiping di Perak dan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM1.3 juta juga dirampas.
"Dua suspek ditahan di Air Itam dan hasil maklumat yang diperoleh membawa kepada penahanan seorang lagi suspek di sebuah rumah di Taiping,” katanya dalam sidang media di sini.
Menurutnya, polis turut menemui sebanyak 349 peket minuman serbuk berperisa yang mengandungi bahan disyaki ekstasi seberat hampir 12kg, ketamin seberat 830 gram, 800 biji pil ekstasi dan 700 biji pil eramin 5 di rumah tersebut.
"Sindiket ini menyewa rumah tersebut sejak lima bulan lepas dan dipercayai menjadikannya sebagai makmal untuk memproses dadah dan seterusnya menyorokkan bahan terlarang itu di dalam peket minuman serbuk untuk diedarkan,” katanya.
Roslee berkata, setiap bungkusan minuman serbuk berperisa yang mengandungi dadah itu dijual dengan harga RM150 hingga RM300 dan mendapat permintaan yang tinggi pengunjung pusat hiburan.
"Susulan penahanan tiga lelaki yang mempunyai pelbagai rekod lampau itu, polis merampas wang tunai RM3,000 dan menyita dua buah kereta iaitu jenis Mercedes Benz serta Honda City,
"Ketiga-tiga suspek sekarang direman untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika bekalan dadah yang dirampas itu terlepas ke pasaran, ia boleh digunakan oleh 35,360 penagih dadah,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata sepanjang tahun lalu, Polis Pulau Pinang merampas kira-kira 3.38 metrik tan pelbagai jenis dadah dan 4.3 juta pil khayal pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM194.7 juta sekali gus menjadi negeri yang mencatatkan jumlah rampasan dadah paling banyak pada 2018.
"Sepanjang tempoh itu, kita berjaya membongkar kegiatan tujuh makmal memproses dadah dan menahan 10,826 orang terlibat dalam pengedaran dadah, memiliki dan menjadi penagih dadah,” katanya. - Bernama