SHAH ALAM - Peranan individu dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ayah dan ibu pada satu masa merupakan tugas hakiki seorang ayah semasa mereka bersetuju untuk membina keluarga bersama pasangan masing-masing.
Coach Smart Parenting Malaysia, Zaid Ahmad berkata, sewajarnya golongan terbabit iaitu ayah perlu bersedia untuk menjadi pemimpin kepada generasi mereka yang akan datang.
"Jika kita tengok dalam suasana sekarang ini seolah-olah ramai ayah menganggap anak-anak ini menyusahkan, memberi pelbagai masalah sehingga mereka 'sakit kepala' dan sebagainya.
"Sedangkan mereka lupa bahawa menjadi ayah adalah pilihan mereka sendiri," katanya pada program Majlis Ayah: Ayah Pemimpin Masuk Syurga Sekeluarga bertajuk 'Ayahku, ibuku jua' di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam di sini hari ini.
Hadir sama, johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2014, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang mengalunkan bacaan surah an-Naml ayat 15 hingga 19 manakala Ketua Penyelidik Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF), Fazrul Ismail sebagai pentadabbur.
Surah an-Naml ayat 15 hingga 19 itu menerangkan bahwa ALLAH telah menganugerahkan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman (putera Nabi Daud) ilmu pengetahuan, baik yang berhubungan dengan pengetahuan tentang tuhan dan syariat-syariatnya, mahupun berhubungan dengan pengetahuan umum, seperti kemampuan dan bakat memimpin serta mengatur bangsanya.
Mengulas lanjut, Zaid berkata, ayat-ayat dalam surah tersebut sangat indah dan boleh mengingatkan kembali manusia tentang amanah yang telah diberikan oleh ALLAH SAW.
"Saya suka membawa satu perbandingan menjadi seorang ayah sebagai pemimpin organisasi. Kita sebagai seorang lelaki kalau kita terlupa bahawa kita diuji tiga perkara mempunyai perkataan 'ta' di dalamnya," katanya.
Menurutnya, ketiga-tiga 'ta' tersebut ialah wanita, harta dan takhta atau jawatan yang boleh menjadi ujian sama ada membawa manusia ke jalan kebinasaan atau membawa ke syurga.
"Wanita iaitu pasangan kita, jika kita berhubung baik dengan mempunyai hubungan ikhlas kerana ALLAH. Isteri kita mungkin membawa kita ke syurga.
"Begitu juga dengan harta kita, banyak berinfak kerana ALLAH SAW, fi-sabilillah boleh membawa kita ke syurga dan jawatan kita, kasta kita sebagai ayah iaitu takhta juga sama," katanya.
Bagaimanapun, beliau kesal apabila ramai lelaki menggunakan statusnya sebagai ayah dan ketua keluarga tanpa mengira perasaan pasangan dan anak-anak mereka.
"Inikah yang cuba digambarkan dalam ayat-ayat al-Quran tadi, apa yang saya faham ayah kepada Nabi Sulaiman telah mendidik Nabi Sulaiman yang diberikan takhta yang terunggul sebagai seorang raja pada manusia dan binatang tetapi Nabi Sulaiman tidak menggunakan takhta itu sewenang-wenangnya.
"Inilah yang wajib kita sebagai ayah amalkan dengan keluarga kita, subjek kita atau pun rakyat kita iaitu ahli keluarga kita di mana kita tidak boleh lakukan sesuka hati sebaliknya mereka itulah yang wajib kita bimbing," katanya.
Dalam pada itu, program Majlis Ayah ini disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian (portal, Facebook (FB),YouTube dan Twitter) serta FB Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bermula jam 6 hingga 7 petang setiap hari sepanjang Ramadan.
Siaran ulangannya pula akan bersiaran di TV AlHijrah (4.30 hingga 5.30 pagi) dan di Astro Oasis (10.30 hingga 11.30 malam) pada hari berikutnya.