Membuka semula ekonomi dalam normal baharu

Iklan

SELEPAS menempuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 47 hari, kebanyakan perniagaan telah diberi kebenaran untuk meneruskan semula operasi pada 4 Mei lalu. Kegiatan ekonomi Malaysia akan mula bergerak semula selepas sejurus lama berkurung untuk membendung penyebaran pandemik Covid-19 dengan berkesannya. Akan tetapi, kita akan menyambung kehidupan dalam keadaan dunia yang berbeza dengan normal yang baharu.

Kita akan bermula dalam persekitaran ekonomi yang sangat mencabar. Perdana Menteri mengumumkan bahawa anggaran kerugian ekonomi akibat PKP berjumlah RM63 bilion. Ramai orang yang hilang pekerjaan. Kebanyakan syarikat sama ada korporat besar dan juga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak terlepas dengan kebanyakan daripada mereka menghadapi ketaksolvenan. Kesan negatif terhadap pasaran kredit, rantaian bekalan dan produktiviti pekerja hanya akan pulih secara beransur-ansur.

Iklan
Iklan

Kini objektif dasar adalah untuk memastikan syarikat-syarikat kembali semula ke tahap optimum dari segi pengeluaran dan penggunaan tenaga kerja sepertimana sebelum krisis dengan kadar segera dan sejahtera. Juga pembinaan asas yang kukuh berpandukan produktiviti jangka masa panjang bagi pertumbuhan, daya tahan dan daya saing ekonomi.

Pelan terperinci fasa pasca PKP memerlukan penyelarasan rapat di antara sektor swasta dan kerajaan. Skala pandemik yang belum pernah berlaku sebelum ini bermakna langkah untuk kembali bekerja perlu dibuat secara beransur-ansur dan berperingkat. Langkah berwaspada perlu diambil untuk mencegah gelombang jangkitan yang seterusnya. Adalah penting bagi memastikan beban bagi mencegah Covid-19 tidak hanya dipikul oleh PKS semata-mata yang telah pun sedang menghadapi kesukaran untuk meneruskan perniagaan.

Iklan

Kerajaan baru-baru ini telah berusaha menyediakan Garis Panduan (SOP) untuk norma penjarakan sosial bagi diikuti oleh para pekerja bagi memastikan persekitaran kerja yang selamat. Usaha ini penting terutama bagi PKS yang berkemungkinan besar tidak memiliki keupayaan sepertimana syarikat-syarikat yang lebih besar dalam pengurusan tindakan yang sewajarnya serta penyediaan langkah pencegahan yang mencukupi.

Bagi kebanyakan industri, langkah untuk mengembalikan pekerja ke pejabat adalah menjadi pilihan terbaik. Selagi rawatan yang berkesan atau vaksin tidak dapat disediakan secara meluas, ujian sasaran secara besar-besaran untuk mengenal pasti jangkitan positif mungkin dapat membantu mengurangkan kebimbangan dan meningkatkan keyakinan para pekerja dan pelanggan ketika perniagaan dibuka semula. Sokongan yang boleh diberikan kepada PKS termasuklah pembiayaan bersama bagi perkhidmatan profesional pembersihan bangunan yang telah disahkan dengan kes Covid-19 dan juga akses kepada insurans kesinambungan perniagaan.

Iklan

Tidak dapat dinafikan adalah jelas PKS selama ini mendapat manfaat penggunaan teknologi baharu. Krisis yang dihadapi kini meningkatkan lagi kepentingan penggunaan teknologi baharu. Sebagai contoh kemudahan bekerja secara jarak jauh dan platform perniagaan dalam talian.

Bagi bergerak ke hadapan, langkah perlu dikenal pasti untuk meningkatkan lagi kadar pendigitalan dalam kalangan PKS di Malaysia. Akses jalur lebar secara percuma atau dengan subsidi dan sokongan teknikal secara terus boleh disediakan untuk PKS bagi mempercepatkan peralihan kepada platform digital. Ini termasuklah platform perniagaan ke pengguna (B2C) dan perniagaan ke perniagaan (B2B). Dalam konteks ini, usaha baharu untuk menyokong proses menyediakan kemahiran baharu dan meningkatkan kemahiran pekerja adalah penting.

Setelah perniagaan boleh beroperasi secara selamat, usaha perlu ditumpukan untuk merancakkan permintaan dan mengaktifkan semula rantaian bekalan. Pelaksanaan langkah rangsangan fiskal menyeluruh yang konsisten dengan ruang fiskal yang ada boleh membantu memulihkan permintaan agregat.

Dalam hal ini, pengumuman langkah-langkah untuk mempercepatkan dan menambah peruntukan bagi projek dan program pelaburan awam yang utama (contohnya Projek Landasan Keretapi Pantai Timur, Mass Rapid Transit 2 dan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara) mampu memberikan impak positif terhadap permintaan pada peringkat pembinaan dan memanfaatkan pertumbuhan secara jangka panjang.

Tanpa sokongan, PKS biasanya tidak berupaya untuk bersaing mendapat kontrak perolehan awam. Keadaan ini boleh mengehadkan kapasiti PKS menerima manfaat daripada projek-projek pelaburan yang dinyatakan. E-perolehan juga wajar digalakkan bagi memberi peluang sama rata bagi PKS bersaing dengan syarikat-syarikat yang lebih besar untuk mendapat tender.

Bagi pelaburan langsung asing pula, usaha perlu segera ditumpukan untuk mengekalkan pelabur yang sedia ada dan menjaga rantaian bekalan yang menghubungkan para pembekal asing dan domestik (biasanya PKS). Banyak rantaian bekalan dan hubungan pelanggan yang terjejas akibat krisis. Dalam pada itu, agensi-agensi kerajaan boleh membantu PKS untuk bersatu semula dengan rantaian bekalan dan mencari pasaran domestik dan eksport yang baharu bagi memendekkan masa pemulihan.

Di Malaysia, perhatian khusus perlu diberikan bagi memastikan syarikat-syarikat dalam sektor industri elektrik dan elektronik, peruncitan dan pelancongan yang terdedah kepada kejutan permintaan dan bekalan terus menerima sokongan. Ini penting bagi menghalang pelaburan keluar dan seterusnya kehilangan peluang pekerjaan.

Kerajaan perlu menjelaskan kepada syarikat tentang perubahan langkah-langkah sokongan kewangan semasa apabila fasa pembukaan semula pasca PKP diteruskan. Adalah penting langkah sokongan sedia ada tidak ditamatkan dalam jangka masa terdekat dan sesetengah langkah mungkin perlu diteruskan walaupun syarikat telah memulakan semula operasi. Dialog terperinci dengan para wakil daripada pelbagai sektor swasta, terutamanya PKS, boleh membantu kerajaan menyampaikan keputusan yang diambil.

Langkah-langkah yang diambil dan cara pelaksanaan perlu diteruskan untuk mengurangkan transaksi fizikal atau interaksi secara bersemuka yang tidak perlu. Skala langkah juga perlu boleh diubah dan terikat mengikut tempoh mengikut keadaan. Ini membolehkan kerajaan menambah skop bantuan yang disediakan, mengurangkannya semula apabila krisis berkurangan dan kemudian menambah semula sekiranya virus merebak.

Walaupun virus diharapkan tidak berkekalan, kerosakan yang dialami oleh ekonomi adalah besar. Proses pemulihan berkemungkinan besar tidak sekata. Sesetengah bahagian dalam ekonomi global bergerak pada kelajuan yang berbeza dan kadar ini pula akan menentukan pemulihan sektor tertentu yang menjadi sebahagian daripada rantaian nilai global.

Walau bagaimanapun, harapan masih ada. Krisis yang berlaku sekarang bukan sahaja membuatkan kita merasakan tindakan segera perlu diambil malah turut memberi peluang untuk menguatkan kedudukan Malaysia menghadapi kejutan luaran. Selain itu, apa yang berlaku sekarang akan mempercepatkan transformasi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang dibina berasaskan sektor swasta yang lebih kukuh, berdaya tahan dan berdaya saing.

**Smita Kuriakose ialah Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia