Quran Hour: Pemilihan surah Ar-Rahman bertepatan

Iklan
Saloni (dua dari kiri) ketika sesi penyerahan wakal al-Quran kepada Jabatan Kesihatan Kedah pada April lepas.

ALOR SETAR - Pemilihan surah ar-Rahman dalam World #QuranHour yang akan berlangsung pada 13 Mei depan dilihat sangat bertepatan dengan situasi semasa ketika ini.

Wakil Rumah Ngaji Kedah, Saloni Mustaffa berkata, melalui surah berkenaan, ia turut mengajak masyarakat bersyukur apatah lagi dalam keadaan negara dan dunia yang sedang berdepan pandemik koronavirus (Covid-19).

Iklan
Iklan

"Saya lihat ia bertepatan untuk mengajak masyarakat memahami dengan menunjukkan lebih keharmonian dalam negara, sekali gus mensyukuri apa yang kita ada berbanding di luar sana.

"Dengan pemilihan surah ar-Rahman, ia diharapkan dapat membuka pintu hati semua untuk bersyukur daripada memikirkan benda yang tidak ada ataupun kurang," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Katanya, segelintir individu mungkin tidak berpuas hati dengan perkara tertentu sebelum ini, namun apabila semua pihak tanpa mengira latar belakang dikehendaki duduk berada di rumah, nikmat tersebut boleh dirasai semua pihak.

"Mungkin juga ada yang rasa malas mahu balik kampung melawat orang tua, malas hendak pergi kerja dan sebagainya sebelum ini, namun ketika Covid-19 melanda negara, mereka akan sedar dan mula bersyukur apabila nikmat itu ditarik," katanya.

Iklan

Dalam perkembangan sama katanya, pihaknya mengambil pelbagai inisiatif menguar-uarkan program World #QuranHour 13 Mei nanti melalui kumpulan WhatsApp Rumah Ngaji dan komuniti, Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (PPAK), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) dan lain-lain.

Katanya, umat Islam digalakkan meluangkan masa sekurang-kurangnya satu jam untuk membaca al-Quran ataupun mendengar taddabur surah Ar-Rahman di TV AlHijrah pada hari berkenaan.

Mengulas lanjut beliau berkata, program berkenaan agak berbeza kali ini kerana bakal berlangsung dalam skala kecil bagi mengelak risiko penularan jangkitan Covid-19.

"Walaupun skala kecil, namun saya melihat kali ini lebih banyak lokasi akan mengadakan World #QuranHour berbanding hanya di 'hotspot' tertentu pada-pada tahun lepas," katanya.

Sementara itu katanya, program yang kini telah memasuki tahun kelima disifatkan amat istimewa dan merupakan gelombang fenomena baharu dalam menarik minat orang ramai terhadap al-Quran.

"Pada tahun pertama dan kedua penganjuran, mungkin ada yang tertanya-tanya, belum jelas ataupun salah faham mengenainya, namun kini ia bukan lagi perkara asing apabila menjadi sebutan dan amalan di mana-mana," katanya.