PARIT - Seorang bayi berusia 27 bulan di Kampung Sadang, Belanja Kiri, di sini, tidak dapat menjalani kehidupan seperti insan lain selepas dikesan menghidap penyakit spina bifida sejak lahir.
Bayi tersebut, Muhammad Wasir Abdul Salam@Saharuddin kini terpaksa menderita penyakit tersebut seumur hidup dan bergantung kepada rawatan hospital setiap bulan.
Ibunya, Mariana Abu, 32, berkata, Muhammad Wasir sudah menjalani pembedahan seawal umur tiga hari untuk menutup tulang belakang yang terbuka sewaktu dilahirkan itu.
"Sejak awal kelahirannya, saya terpaksa berulang-alik setiap minggu ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk membawa Muhammad Wasir menjalani rawatan neuro dan tulang- menaiki bas bersama seorang anak lelaki berusia 11 tahun.
"Suami saya bekerja kampung memang tak dapat teman lagi pun kami tak ada kenderaan lain dan sumber pendapatan hanya mengharapkan suami," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sadang, Belanja Kiri di sini hari ini.
Mariana berkata, disebabkan jarak yang jauh untuk berulang-alik ke HRPB dan memerlukan kos, beliau berbincang dengan doktor supaya rawatan susulan yang ditetapkan seminggu sekali dibuat setiap bulan.
Katanya, kos sebanyak RM50 sebulan diperlukan untuk tambang dan keperluan lain bagi rawatan susulan Muhammad Wasir, namun memberitahu beban sekeluarga semakin ringan apabila menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal, masing-masing bernilai RM300.
"Bila doktor setuju dan benarkan untuk buat sebulan sekali rawatan, saya rasa lega. InsyaALLAH, saya akan teruskan rawatan untuk pastikan Muhammad Wasir terus sihat," katanya.
Bercerita mengenai keadaan anaknya itu, Mariana berkata, Muhammad Wasir hanya boleh duduk dan mengiring, selain terdapat benjolan di belakang badan Muhammad Wasir yang jika dibuang boleh menyebabkan bayi berkenaan berisiko lumpuh kerana ia melibatkan saraf.
Dalam pada itu, sempena Hari Ibu, Mariana turut mengharapkan anaknya diberi kesihatan dan kesembuhan agar boleh terus menjalani kehidupan bersama keluarga.
"Saya mengharapkan doa seluruh rakyat Malaysia agar Muhammad Wasir terus sihat dan panjang umur. Itu saja yang saya minta.
"Saya tak mengharapkan yang lain. Cukuplah dapat tengok anak-anak saya sihat pun bersyukur sangat," katanya sebak.
Sementara itu, keadaan Muhammad Wasir mendapat simpati beberapa pihak antaranya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MyFundAction, Persatuan Kesihatan Jantung Malaysia (MyHeart) dan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja yang tampil menghulurkan sumbangan.
MyFundAction diwakili Pengerusi Cawangan Peraknya, Mohd Hanif Nasaruddin manakala MyHeart diwakili pengerusinya sendiri, Dr Ahmad Luqman Ahmad Shuhaili.
Turut sama menyampaikan sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Khairuddin Abdu Hanipah.
Orang ramai yang ingin menyumbang terus kepada Mariana boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), 0821341100004539 atas nama Mariana binti Abu.