SHAH ALAM - Kepentingan industri media khususnya media arus perdana perlu dijaga kerana ia mencerminkan identiti masyarakat dan negara.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Tekonologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, media arus perdana amat diperlukan untuk mengimbangi penularan berita palsu yang memberi kesan buruk kepada masyarakat.
"Media arus perdana lazimnya menerapkan nilai etika yang baik dalam menyampaikan berita kepada rakyat terutama dalam situasi pandemik atau konflik keselamatan seperti ancaman koronavirus (Covid-19).
"Fakta dan kandungan berita yang telah melalui proses suntingan dapat mengekalkan kestabilan negara.
"Bagaimanapun, sensasi capaian mudah dan tajuk yang menarik dalam dapatan digital terutama media sosial yang pantas amatlah sukar dikawal dan diteliti penggunaannya,” kata beliau kepada Sinar Harian di sini semalam.
Beliau berkata, apa yang terjadi kini syarikat media hilang keupayaan untuk menjana keuntungan dan membiayai kos pengurusan media.
Katanya, berita secara dalam talian amat sukar untuk menjana kitaran ekonomi kerana tidak semua membacanya daripada platform media dalam talian itu sendiri."Pembaca melayarinya daripada platform ketiga atau perkongsian. Ruangan iklan digital juga belum menjadi pilihan seperti mana ruangan media tradisional,” katanya.Noor Nirwandy berpendapat, wajar untuk kerajaan memberi perhatian dalam usaha membantu menyuntik dana kepada industri media, namun langkah itu bukan untuk kepentingan politik semata-mata.
"Apa yang perlu diubah adalah kaedah penggunaan media melalui dana kerajaan tidak boleh terlalu memperlihatkan politik keterlaluan dan tidak matang,” katanya.
Beliau percaya industri media masih diperlukan dalam negara dan pengoperasian syarikat media di Malaysia mampu bertahan.