SHAH ALAM - Polis mengesahkan video tular mengenai seorang remaja dipercayai warga Rohingya cuba membuka pintu kereta pemandu wanita di lampu isyarat berhampiran persimpangan bertingkat Batu Tiga di sini merupakan video lama.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata rakaman video tersebut diambil pada 7 Mei 2017.
"Video tersebut merupakan video lama dan kes telah selesai.
"Pemantauan dijalankan mendapati tiada lagi aktiviti mengemis di lokasi tersebut," katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, tular video memaparkan seorang pengguna jalan raya di sini berkongsi detik cemas apabila seorang remaja dipercayai warga Rohingya cuba membuka pintu keretanya ketika berhenti di lampu isyarat berhampiran persimpangan bertingkat Batu Tiga di sini.
Pengguna jalan raya yang tidak dikenali berkongsi detik itu melalui rakaman video yang dirakam sendiri ketika dihampiri remaja berkenaan yang meminta sedekah ketika dia berhenti di lampu isyarat.
ARTIKEL BERKAITAN: Remaja Rohingya cuba buka pintu kereta ketika minta sedekah
Video yang tular di laman sosial hari ini itu juga menunjukkan remaja berkenaan meminta sedekah dari kereta ke kereta.
Namun selepas menyedari perbuatannya dirakam, remaja itu menghampiri kereta mangsa terbabit dan cuba membuka pintu kereta dari luar.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian bagaimanapun mendapati kelibat peminta sedekah itu tidak kelihatan di kawasan berkenaan.