IPOH - Ramadan tahun ini memberi pengalaman buat saudara baharu, Muhammad Danial Hakim Abdullah, 43, menjalani ibadah puasa di Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) di Arena Badminton Perak di sini.
Dia yang memeluk Islam sekitar 2007 ditempatkan di PPG itu bersama 67 penghuni lain sejak ia dibuka kerajaan negeri pada 18 April lalu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Muhammad Danial berkata, ibadah puasanya tahun ini lebih lengkap apabila dia turut berpeluang mendalami ilmu agama antaranya mengaji al-Quran dan solat dengan cara yang betul.
"Sebelum ini saya puasa juga, mengaji pun ada belajar, cuma baca tak lancar.
"Saya bersyukur ditempatkan di sini, saya dapat mendalami Islam dengan lebih baik, dulu tak berapa pandai mengaji sekarang saya sudah boleh baca al-Quran.
"Dulu puasa banyak main-main, alhamdulillah sehingga hari ini saya dapat puasa penuh," katanya.
Menurutnya, berbanding tinggal di luar, PPG menitikberatkan kebajikan semua penghuni terutama mereka yang berpuasa dengan menyediakan keperluan sahur, berbuka serta minum malam.
"Tak rasa berkurang pun tinggal di sini, lebih lagi ada.
"Paling seronok saya berpeluang berpuasa bersama rakan-rakan Islam lain yang hidupnya senasib dengan saya dan kami sama-sama belajar baiki diri masing-masing," katanya.
Seorang lagi penghuni, Ahmad Kamal Md Dahlan, 49, mengakui dahulunya lalai dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam, namun kini mahu mengubah diri ke arah lebih baik.
Bapa tiga anak dari Gunung Rapat itu diberi peranan melaungkan azan setiap kali tiba waktu solat dan berbuka puasa di PPG berkenaan.
"Saya tak sangka mereka (petugas PPG) pilih saya, sebab dah lama tak ke surau dan mengaji, bila pertama kali diminta azan, rasa goyang juga.
"Tapi lama-lama semuanya okey, sekarang saya rasa lebih dekat dengan tuhan," katanya.
Katanya, berpuasa di PPG memberi keinsafan kepada diri bahawa dia masih mempunyai kesempatan dan waktu untuk berubah ke arah kebaikan.
"Sebelum ini saya tak kisah dengan hidup sendiri tetapi sejak tinggal di sini, banyak perkara saya fikir untuk berubah semestinya," katanya.
Warga emas, Shamsuddin Abdul Hamid, 68, yang telah 17 tahun hidup dalam keadaan tidak terurus turut berazam mahu membina hidup baru.
"Tahun ini saya dapat hayati erti Ramadan yang sebenar, ada ramai kawan dan ustaz beri nasihat dan tegur perkara yang membawa kebaikan," katanya.
Menurutnya, selama ini dia menyara kehidupan sendiri menerusi upah yang diperoleh dengan melakukan kerja-kerja ukur bersama rakan, namun terhenti setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Dalam pada itu, Pegawai Daerah Kinta, Halizah Sipun berkata, tujuh daripada 17 penghuni muslim di PPG itu telah berpuasa penuh sepanjang Ramadan ini.
"Bagi saya itu sesuatu yang membanggakan kerana kita tak jangka mereka akan bertahan untuk berpuasa penuh.
"Bagi yang berpuasa kita menyediakan makanan sahur, berbuka dan minum pada waktu malam.
"Mereka yang tidak mampu berpuasa, kita sediakan keperluan sama seperti penghuni bukan Muslim lain iaitu minum oagi, makan tengah hari, minum petang, makan malam dan minum malam," katanya.
Beliau berkata, sepanjang Ramadan ini, kelas agama diadakan dua kali seminggu dikendalikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
"Dalam kelas ini, mereka diajar tentang perkara-perkara asas fardu ain seperti mengenal semula huruf-huruf al-Quran, berwuduk dan solat dengan betul serta membaca al-Quran.
"Kita harap dengan adanya program sebegini, sekurang-kurangnya mereka boleh mengenal balik kehidupan sebagai seorang beragama Islam dan mahu mengubah diri menjadi insan lebih baik," katanya.