KUANTAN - Golongan peniaga di Lorong Tun Ismail 5 di sini melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sepanjang tempoh Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pahang bagi mencegah penularan koronavirus (Covid-19) di premis mereka.
Staff Milliya Bundle, Mohd Afiq Abdul Mutalib berkata, sebelum beroperasi hari ini, majikannya memberi taklimat berkenaan normal baharu dan pelaksanaan SOP terhadap pelanggan dan pekerja yang perlu dipatuhi sepanjang PKPB.
Menurutnya, SOP tersebut termasuklah penjarakan sosial, mewajibkan pemakaian topeng muka, mengenakan cecair pembasmi kuman sebelum dan semasa masuk premis, mendaftar nama dan maklumat telefon pelanggan.
"Para pelanggan juga perlu memastikan kesihatan diri, penjarakan sosial dan tidak dibenarkan mencuba pakaian.
"Kalau sebelum ini boleh cuba, sekarang tak boleh," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Dalam masa sama, Mohd Afiq turut meluahkan perasaan lega dan gembira kerana dapat kembali bekerja setelah sekian lama operasi tertangguh sejak 18 Mac lalu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang turut memberi kesan ekonomi terhadap dirinya dan rakan sekerja lain.
Hari ini merupakan hari ketiga pelaksanaan PKPB di Pahang setelah SOPnya diperhalusi dan diumumkan kerajaan Pahang.
Sementara itu, kakitangan Peace Collection, Nor Shahanaz Mohd Salleh berkata, antara normal baharu yang diamalkan ialah mengehadkan kemasukan pelanggan dalam satu masa.
"Kalau sebelum ini bulan Ramadan atau hampir raya pasti penuh kedai. Sekarang kita tak benarkan melebihi 10 pelanggan dalam satu masa.
"Ini bagi memastikan penjarakan sosial terpelihara dengan baik. Kita juga buat semakan suhu, pakai sanitizer dan topeng muka. Tiada cubaan pakaian di premis malah baju yang dibeli dan dibawa pulang tidak boleh ditukar," katanya.