Rayuan BPN dilanjut hingga 31 Mei

Iklan
Kenyataan LHDN

SHAH ALAM - Tempoh permohonan rayuan bagi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dilanjutkan sehingga 31 Mei dan mereka yang menepati syarat diberi jaminan akan diberi pertimbangan menerima bantuan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Dr Sabin Samitah dalam satu kenyataan berkata, bagi memudahkan urusan permohonan rayuan, semua pejabat LHDN akan dibuka mulai 11 Mei atau 12 Mei bergantung pada hari bekerja di setiap negeri.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, LHDN terpaksa menolak permohonan yang tidak mematuhi syarat tertentu seperti kelayakan umur atau status sebagai pelajar sepenuh masa dan sebagainya.

"Bagaimanapun LHDN meminta pemohon yang kehilangan pekerjaan atau pengurangan pendapatan yang ketara boleh mengemukakan rayuan bersama dokumen sokongan," katanya.

Iklan

"Bagi permohonan ditolak atas alasan lain termasuk pemohon atau pasangan mempunyai syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga boleh membuat rayuan dengan mengemukakan dokumen sokongan menunjukkan jumlah pendapatan terkini.

"Rayuan juga boleh dikemukakan melalui e-mel kepada LHDN di rayuanbpn@hasil.gov.my atau terus berkunjung ke mana-mana pejabat LHDN berhampiran.

Iklan

Beliau berkata, berdasarkan pangkalan data Bantuan Sara Hidup (BSH) dan data cukai, pada fasa pertama BPN, LHDN meluluskan permohonan 8.3 juta individu membabitkan peruntukan RM9.3 bilion manakala sebanyak RM1.7 bilion untuk 2.3 juta pemohon pada fasa kedua.

Kelulusan dibuat berdasarkan semakan silang dengan pangkalan data yang terkini daripada 10 agensi kerajaan seperti SSM, LHDN, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Semakan itu adalah antara lain bagi mengelakkan sebarang penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.