Pemandu jengkaut maut tertimbus tanah

Iklan
Kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa sedang dijalankan di lokasi kejadian (foto: Ihsan IPD Hulu Terengganu)

HULU TERENGGANU - Seorang pemandu jengkaut maut selepas tertimbus tanah ketika sedang menjalankan kerja-kerja mengaut tanah berdekatan padang bola awam Kampung Pantai Ali, Telemong, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 10.45 pagi itu, mangsa, Che Abdillah Harun, 59, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di beberapa bahagian badan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 11 pagi sebelum bergegas ke lokasi bersama bersama 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Tapai, Marang.

"Usaha mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan dengan bantuan kira-kira 20 penduduk kampung dan mangsa ditemui pada jam 12.05 tengah hari di bawah timbunan tanah.

Iklan

"Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 12.25 tengah hari sebelum disahkan meninggal dunia jam lima minit kemudian. Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Orang ramai mengerumuni lokasi kejadian untuk melihat sendiri usaha mencari dan menyelamat mangsa yang sedang dijalankan (Foto: ihsan pembaca)

Mohd Adli berkata, siasatan awal mendapati mangsa melakukan kerja-kerja mengaut tanah di lokasi seawal jam 7.30 pagi tadi bersama tiga lagi rakan sekerjanya yang berusia di antara 33 hingga 50 tahun.

Iklan

"Mangsa ketika itu sedang mengaut tanah ke dalam lori yang dipandu rakannya berusia 50 tahun sebelum rakannya berusia 39 tahun ternampak berlaku pergerakan tanah runtuh lalu menjerit meminta mangsa melarikan diri.

"Dalam keadaan kelam kabut itu, mangsa dikatakan sempat terjun dari jentera berat itu dan cuba menjarakkan diri dari tebing bukit tersebut.

"Bagaimanapun dia dikatakan tersungkur ketika lari dan rebah kira-kira dua meter dari jengkaut berkenaan dan tanah runtuh menimbus badannya beberapa minit kemudian," katanya.

Mohd Adli memberitahu, rakan-rakannya berusaha menggali tanah dan mengalihkan dahan kayu bagi mengesannya namun tidak berjaya dan terus menghubungi polis.